URIP IKU URUP
Kita maklum bahawa kita hidup di dunia ini perlu saling memberi. Tapi,
dewasa ini ramai yang memilih untuk berdiri sendiri. Hampir terlupa bahawa
sebaik-baik kita adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.
Urip iku urup (hidup itu nyala) menyiratkan hidup itu harusnya memberi
manfaat bagi orang di sekitar kita. Tidak perlu dihitung manfaat diberi, hanya
ikhlaskan dalam hati dan yakin kecil besar manfaat itu adalah urusan Tuhan.
Kalau besar kebaikan yang kita dapat beri, kita telah membantu orang lain.
Kalau kecil pun kebaikan yang dapat diberi, kita masih membantu orang lain.
Ada juga suara-suara liar yang mengatakan apa perlunya untuk membantu
orang lain kerana jika kita susah belum tentu kita akan dibantu. Ada juga yang
merasa bahawa mereka belum cukup berkemampuan untuk menolong orang lain. Bagi saya, ianya berbalik semula tentang penafsiran
kita terhadap kebaikan itu sendiri.
Ramai yang berpendapat kita harus membantu orang lain mengikut
kemampuan. Itu saya setuju. Namun, ramai juga yang beralasan bahawa mereka
belum cukup mampu. Kita sering lupa sebenarnya terlalu banyak perkara
yang boleh kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak. Semuanya bergantung
kepada tabiat dan pilihan kita.
Sebagai contoh, kawan anda seorang perokok tegar dan dia merokok di
tempat awam. Lalu, anda memilih untuk menegurnya supaya merokok di tempat lain
ataupun seeloknya berhenti merokok sebentar kerana anda tidak tahan dengan asap
rokok. Anda mungkin tidak sedar yang anda telah mengelakkan orang lain dari
menjadi perokok sekunder.
Begitu juga jika ketika anda rasa untuk membuang sampah keluar dari
tingkap kereta. Anda memilih untuk menyimpannya
dahulu kemudian buang sampah tersebut dalam tong sampah bila anda turun dari
kereta. Anda sebenarnya telah membantu menjaga alam ini. Biarpun kecil
perlakuan kita, namun yakinlah kita sebenarnya telah membantu banyak jiwa.
Jika kita tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain, kita
seharusnya tidak memberi mudharat pada orang lain.
Namun, ramai juga yang menjadi bara yang selalu membakar dan memusnahkan demi menidakkan usaha manusia lain.
Pilihan sentiasa ada di hati kita. Terpulang pada kita untuk menjadi cahaya
atau bara.
0 comments:
Post a Comment