Tiba-tiba rajin pula Dayat mengajak untuk berjoging petang ini. Bagus
juga sebab saya pun memang memerlukan senaman kardio. Nak turunkan berat badan kononnya. Cuma bila sudah lama tidak
berjoging, saya jadi sedikit kekok. Rasa lain macam. Agaknya
sebab itulah saya joging tidak sampai sepuluh minit dah berhenti.
Salah kasut ke? Salah teknik ke? Mungkin perlukan sedikit
masa. Memang seronok kalau berjoging di Putrajaya Lakeside kerana
pemandangannya yang menarik. Banyak yang dapat kita saksikan sepanjang berjoging di sini. Bagai ada kelainannya di sini dari segi landskap, binaan, dan suasananya yang sentiasa menggamit kita untuk berada di sini.
Ada jeti kecil yang seolah
terapung di permukaan tasik yang lembut beralun. Di kejauhan terlihat bangunan
tinggi megah berdiri sambil bayangnya sibuk menari meliuk mengikut alunan
air tasik yang dihembus angin petang. Bangunan apa pun saya tak pasti. Ada juga
terlihat menara tinjau tapi saya tak sempat untuk menapak ke sana kerana maghrib sudah semakin hampir. Kalau ada kesempatan saya akan melihat pemandangan
dari menara tersebut. Tentu lebih menarik.
0 comments:
Post a Comment