Hari ini hampir tiga minggu kawasan kampung saya tiada air. Saya ada periksa di laman sesawang Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).
Menurutnya air tidak dapat disalurkan kerana ada pencemaran ammonia yang
tinggi. Tambahnya lagi kita kena berharap yang hujan akan turun dalam masa
terdekat ini. Pernah juga sekali dua langit mendung memberi isyarat dan harapan
yang hujan akan turun. Hampa. Hanya gerimis tipis yang turun sebentar bagaikan
mengejek, kemudian langit kembali cerah.
Mujur pihak SYABAS ada menyediakan perkhidmatan lori air
yang berulang-alik mengangkut air untuk kegunaan penduduk yang terjejas dengan
krisis air. Pada peringkat awal, berlaku sedikit ketegangan di mana penduduk
yang berang kerana menunggu air terlalu lama kerana jumlah lori yang sedikit.
Sampai berparang jugalah yang saya dengar. Ada juga bantuan dari kerajaan negeri
dan kerajaan pusat yang mengedarkan air mineral secara percuma. Memang tidak
cukup sebenarnya untuk menampung kegunaan seharian selama tiga minggu. Namun, saya perlu berterima kasih pada mereka kerana sanggup membantu.
Alhamdulillah. Dua hari lepas pihak YB setempat mengambil
inisiatif untuk meletakkan tangki-tangki air di beberapa kawasan yang dirasakan
patut. Kehadiran tangki-tangki ini memang banyak membantu kerana sebahagian
dari kami tidak lagi perlu sehari suntuk menunggu lori air dan berjemur di
tengah panas, menahan bahang matahari cukup luar biasa panasnya kesan dari
kemarau. Tak kurang juga ada yang berpayung.
Bila berlaku perkara sebegini, akan timbul individu-individu
yang saling menuding jari pada pihak-pihak tertentu. Ada yang menyalahkan
kerajaan pusat. Ada yang menyalahkan kerajaan negeri. Bagi saya kalau nak kata
salah, semua pihak salah. Saya rasa ini mungkin ujian yang diturunkan supaya
kita sedar. Sudah terlalu banyak kemusnahan dan pembaziran yang telah kita
lakukan. Mungkin ini waktunya untuk kita merenung balik di mana silapnya dan
apa solusinya.
Akhir kata, semoga dengan masalah air yang ditimpakan ini
kita dapat belajar untuk lebih menghargai air dan belajar untuk menjimatkan
air.
0 comments:
Post a Comment