Keadaan di Malaysia dalam sebulan dua ini memang agak panas
dan kering kesan dari kemarau yang berpanjangan dari hujung tahun lepas. Ditambah
pula masalah air di kampung saya yang membelenggu dan berlarutan selama tiga minggu.
Memang betul-betul menguji kesabaran. Saya harus sabar. Mungkin ini ujian untuk
kita lebih beriman, atau mungkin saja hukuman untuk kita lebih sedar.
Mengenangkan cuaca yang bahang dan krisis air yang melanda,
perasaan untuk berenang meluap-luap. Membayangkan kenikmatan berendam dalam
air kolam yang sejuk cukup merangsang. Siapa yang tak tergoda dengan
kejernihan air kolam di Presint 6, Putrajaya yang kadang-kala berkocak lembut
dihembus angin, menimbulkan riak kecil dan bayangnya terbias di sudut kolam
bila disapa cahaya matahari.
Pagi. Pukul sembilan tepat saya sudah berada di kolam Presint
16, Putrajaya. Sengaja saya mengambil sesi pagi (9am-11am) kerana waktu begini
memang tidak ramai yang berenang di sini. Waktu bekerja agaknya. Untung juga saya bekerja sendiri.
Selain dari menyegarkan badan, saya sebenarnya ingin
mempraktikkan ilmu renang yang saya belajar dari Coach Sazali dari Kelab
Aquaputra. Total Immersion. Secara
ringkasnya, teknik ini memerlukan tenaga yang sangat minimum. Oleh sebab itu,
kita boleh berenang dalam jarak yang jauh dengan lebih santai.
Alhamdulillah, dengan sedikit latihan dan teknik baru
walaupun belum sempurna, pagi ini saya mencatat rekod baru iaitu sejauh 1.8km.
Kalau sebelum ini, saya hanya boleh berenang dalam lingkungan 600m. Kalau
masalah air berlarutan lagi, mungkin saya dapat capai jarak 5km kerana minggu
ini saja sudah empat kali saya ke kolam renang. Tapi, minta-minta cepatlah hujan
turun.
0 comments:
Post a Comment