Showing posts with label Blog. Show all posts
Showing posts with label Blog. Show all posts

Tuesday, 3 June 2014

 

Dewasa ini, banyak usahawan-usahawan baru yang muncul. Mungkin atas faktor kos sara hidup yang meningkat dan semakin menekan. Maka, ramai yang mengambil keputusan untuk menambah pendapatan melalui perniagaan sama ada melalui produk mereka sendiri ataupun menjadi agen kepada produk lain.

Saya melihat perkara ini sebagai satu trend yang bagus kerana ianya dapat memecahkan monopoli syarikat-syarikat besar dan memberikan pengguna lebih pilihan dalam berbelanja. Namun, tidak semua usahawan ini mampu untuk bertahan dalam bidang perniagaan kurang dalam masa dua tahun. Terdapat pelbagai sebab kenapa perkara ini berlaku. Antaranya adalah kurangnya pengalaman, tiada asas pengurusan wang, pemasaran yang tidak berkesan, tiada saluran yang betul, dan pelbagai masalah lain.

ANDA BUKAN SUPERHERO

Di sini saya ingin kongsikan satu daripada pelbagai kesilapan yang sering dilakukan oleh para usahawan di luar sana ataupun mungkin kita sendiri yang melakukannya, iaitu menjalankan perniagaan secara bersendirian. Mereka sendiri yang uruskan production, marketing, logistic, financing, dan sebagainya.

Peringkat awal mungkin kita boleh uruskan kerana perniagaan kita masih dalam skala yang kecil. Namun, bagaimana jika permintaan terhadap produk kita semakin bertambah hingga di satu tahap kita tidak mampu untuk melakukannya sendirian?

Bagaimana pula untuk kita promosi ataupun mengiklankan produk kita? Kita kena tahu bahawa kadang-kala kos untuk create awareness tentang produk kita lebih tinggi dari kos untuk menghasilkan produk tersebut.

Sebenarnya, ada satu rahsia untuk anda promosikan perniagaan anda dengan cara yang sangat murah dan berkesan. Yang paling penting, ianya boleh memberi impak kepada perniagaan anda.

BAGAIMANA CARANYA?

 If you want to go quickly, go alone. If you want to go far, go together.

Ya. Rahsianya adalah berjemaah.


J.T. Foxx pernah berkongsi tentang 4 elemen penting yang perlu ada dalam setiap perniagaan yang berjaya dan salah satunya adalah relationship ataupun networking.

Alhamdulillah. Dalam program Tatih Jutawan, kami mengamalkan konsep networking atau berjemaah walaupun kami mempunyai pelbagai produk dan perniagaan. Suka untuk saya petik kembali kata-kata dari salah seorang peserta Tatih Jutawan, Mustaqim Mahfar.

Allah suka hamba-hambaNya berjemaah dalam solat dan seterusnya apply konsep itu di tempat lain juga.

Dalam bisnes, acuan yang sama perlu dicorakkan. Bina team, bahagi-bahagikan task. Production, marketing, finance, admin dan lain-lain. Jangan buat kerja sorang-sorang. Be smart.

BERKONGSI ILMU DAN KEPAKARAN

Hari ini peserta Tatih Jutawan diberi penerangan yang mendalam tentang Business Model Canvas (BMC) oleh Tuan Shamsul Bahril aka The Catalyst. Bagi anda yang tidak tahu tentang BMC, ianya adalah satu elemen dalam satu set perancangan perniagaan yang kompleks iaitu Business Model Generation (BMG). BMC bertindak sebagai satu interpretasi maklumat yang ringkas dan padat tentang mekanisma perniagaan kita secara menyeluruh. Dan, BMC tidak hanya dilakukan sekali, sebaliknya ianya harus dilakukan berulang-ulang kali hingga kita dapat satu model perniagaan yang sempurna.

Seronoknya tentang program Tatih Jutawan ini adalah ianya bukan semata-mata kelas teori sahaja. Kami terus apply ilmu BMC ke dalam projek rasmi Tatih Jutawan yang akan berlangsung pada 21 Jun hingga 27 Jun ini. Di sinilah kami dapat melihat bagaimana BMC itu berfungsi dan signifikannya terhadap perniagaan kami. Selain itu, kami dapat berjemaah dalam perniagaan yang mana kami saling memberi idea dan pendapat bernas untuk projek tersebut.

KEBAIKAN NETWORKING DALAM PERNIAGAAN

Hasilnya, kami telah dapat merancang satu model yang bakal memberi impak kepada perniagaan setiap peserta dan penjenamaan Tatih Jutawan itu sendiri.

Kami telah mendapatkan booth yang banyak pada harga yang murah, kos pemasaran yang dikongsi bersama, pembahagian tugas supaya setiap perancangan dapat berjalan dengan lancar, capaian kepada pelanggan berpotensi dengan lebih luas, dan suasana booth yang pastinya akan meriah dengan pelbagai aktiviti serta boleh menjadi viral dalam media sosial.

Pastinya ia tidak boleh dilakukan jika kami bergerak secara sendirian.

SIAPA KUMPULAN ANDA?



Itu kisah kami, Keluarga Tatih Jutawan. Bagaimana dengan anda? Adakah anda sudah ada networking ataupun kumpulan perniagaan anda sendiri?


Jika belum, mungkin ini masanya untuk anda mencari kumpulan tersebut. Dan, jika anda ingin melihat bagaimana kuatnya Keluarga Tatih Jutawan ini, anda boleh berjumpa kami di SME Week nanti.




Tuesday, 20 May 2014


Tanggal 18 dan 19 Mei 2014. Program Tatih Jutawan : Kickstart telah berjalan dengan gemilangnya di Genting View Resort, Genting Highland. Secara ringkasnya, program ini diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan dan saling mengenali antara mentor dan peserta dalam program Tatih Jutawan. Sehubungan itu, pihak penganjur telah merancang suasana program ini agar ianya berbentuk santai tapi penuh dengan pengisian.

SESI PENDAFTARAN YANG 'KELAM KABUT'

Kem dimulakan dengan sesi pendaftaran yang unik di mana kami dikehendaki melantik seorang ketua dan arahan pertama hanya akan diberi kepada ketua. Arahannya adalah para peserta akan masuk ke dalam dewan aktiviti dan harus mencari tag nama masing-masing yang ‘disepahkan’ dan buat susunan untuk mengambil gambar. Semuanya harus dilakukan dalam masa yang paling singkat. Kami mengambil keputusan supaya hanya dua ke tiga peserta saja yang akan mencari tag nama dan berikannya kepada peserta lain bagi mengelakkan suasana kelam kabut.


Kami berjaya juga menghabiskan tugasan pertama dalam masa lebih dua minit. Agak lambat sebenarnya kerana  bila saja pintu dewan dibuka muzik dipasang dengan kuat dan lampu dewan ditutup. Keadaan menjadi kelam kabut kerana peserta terpaksa menjerit untuk memberi tag nama kawan dan terpaksa meraba dalam kegelapan.
“Begitulah kita dalam kehidupan. Kita sering diganggu oleh kesusahan dan dilekakan dengan kesenangan. Tapi, kita akan dapat apa yang kita hajatkan jika kita fokus.”

Mukaddimah yang sangat mendalam oleh ‘guru besar’ program Tatih Jutawan, Tuan Shamsul Bahrir aka The Catalyst. Beliau kemudiannya menerangkan tentang perjalanan kem ini dan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi sepanjang kem ini berjalan. Kem diteruskan dengan sesi berkenalan yang mana kami perlu mengenalkan diri dan perniagaan di hadapan mentor yang bertindak sebagai ‘juri’ untuk menilai elevator pitch setiap peserta.


PASSION AND PRODUCT VALUE

Banyak komen-komen bernas diberikan oleh mentor yang merangkumi aspek keyakinan, product knowledge, pemilihan ayat dan sebagainya. Saya juga teringat komen Mentor Puan Maza Asma tentang apa value produk yang kita hendak berikan kepada orang ramai dari segi manfaat produk itu sendiri dan dari aspek keusahawan. Juga sedikit peringatan dari Mentor Pn. Faridatul Azna tentang passion kita terhadap produk dan bagaimana kita ingin menunjukkan keterujaan kita kepada orang ramai.


Selepas itu, kami dibahagikan kepada empat kumpulan yang mana setiap kumpulan akan ‘dijaga’ oleh seorang mentor. Setiap kumpulan diberi sehelai kertas mahjong dan dikehendaki mencipta nama kumpulan, logo, dan warcry kumpulan masing-masing.

Kumpulan saya cukup bertuah kerana dibimbing oleh Mentor Datin Siti Mariam yang cukup sistematik dalam proses brainstorming idea. Hasilnya, dalam masa yang singkat kami berjaya menghasilkan logo kumpulan yang bersayap memberi makna bahawa kumpulan kami yang sedia untuk terbang tinggi, diperhalusi dengan lima pelepah mewakili lima peserta, dan kilat di tengahnya yang melambangkan kepantasan kumpulan kami. Kumpulan kami diberi nama Flash Wing dan oleh kerana kami berpegang bahawa ‘fast action fast result’, slogan dan warcry kami adalah,

We lead by the speed!
SESI BRAIN TEASERS

Selain itu juga, ada juga sesi ‘memeningkan’ kepala yang mana kami diberikan soalan-soalan ‘budak tadika’ bak kata Tuan Shamsul. Namun, sesi Brain Teasers ini bukan sekadar menjawab soalan tapi diselitkan juga mesej yang mungkin saja boleh mengubah cara fikir kita. Anda ingin cuba? Tapi pastikan anda jawab dengan jujur dan jangan skip mana-mana soalan. Jawab ikut turutan soalan supaya anda dapat mesej yang ingin disampaikan.



Anda dapat jawab soalan di atas?

Ada ketikanya kita perlu keluar dari kerangka pemikiran yang biasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seorang usahawan perlu memiliki idea-idea yang ‘pelik’ untuk menarik perhatian pelanggan dan supaya perniagaan kita lebih menonjol. Itulah yang kita panggil pemikiran di luar kotak.

Namun, ada juga waktunya di mana kita cenderung untuk merumitkan keadaan. Seperti soalan di atas, jika kita selalu dihadapkan dengan kesukaran, kita akan cenderung untuk merumitkan keadaan walaupun sebenarnya ada penyelesaian yang sangat mudah. Oleh itu, kita perlu pandai untuk membezakannya.

Jika anda dapat menjawab semua soalan di atas mengikut urutan, anda akan faham.

"SURPRISSEEEEEE!!"

Itulah yang tertulis di tentative program. Aktiviti untuk hari pertama diteruskan pada sebelah malam selepas selesai makan malam. Bagi saya ini adalah sesi yang paling seronok kerana kami hanya perlu menonton filem yang ala-ala wayang pacak. Ada yang tekun menonton, ada yang berbaring, ada juga yang sampai tertidur. Kepenatan agaknya. Tapi, kredit harus diberikan kepada pihak penganjur kerana memilih untuk menayangkan filem The Billionaire yang juga dikenali sebagai Top Secret : Wai Roon Pan Lan.

Sebuah filem yang menceritakan tentang seorang billionaire muda dari Thailand yang bernama Aitthipat Kulapongvanich, ataupun lebih dikenali dengan Tob TaoKaeNoi. Plot filem ini yang berkisar tentang siri-siri kegagalan dan kekangan yang terpaksa Tob hadapi namun beliau tetap ‘degil’ dan terus mencuba hingga akhirnya ‘kegilaan’ beliau mendatangkan kejayaan. Hasilnya kini, produk TaoKaeNoi telah berada 53,000 outlets 7-Eleven di 16 buah negara.

Jika anda pernah menonton filem ini, anda akan perasan Tob sering mendengar rakaman pensyarahnya tentang unlimited thinking. Pensyarah Tob memberitahu bahawa unlimited thinking lebih besar peranannya dari thinking out of the box.

Ianya bertindak di bawah minda separa sedar yang sebenarnya kritikal terhadap kejayaan yang akan diperoleh.

Yakin.

Adakah kita cukup yakin apa yang sedang kita lakukan sekarang akan memberi kejayaan kepada kita? Yang pasti keyakinan inilah yang membuatkan Tob menjadi seorang yang sangat berjaya dan menjadikan beliau seorang yang ‘degil’ dan ‘gila’. Tapi dalam cara yang positif.

OUTDOOR ACTIVITIES

Hari kedua pula kami melakukan beberapa aktiviti fizikal iaitu Web Crossing, Gibbon Crossing, dan Fireman Crossing. Setiap peserta dikehendaki melintasi sebatang sungai kecil melalui tiga cara yang berbeza. Simboliknya halangan-halangan ini menunjukkan bahawa ada ketikanya kita terpaksa untuk melalui cabaran seorang diri. Tiada siapa yang dapat tolong. Hanya ada kita, usaha, doa, dan tawakkal. Namun, di sebalik kepayahan yang kita hadapi, kita akan dapat melihat kawan-kawan yang sudi bersorak dan memotivasi kita walaupun secara zahirnya mereka tidak dapat membantu kita. Kadang-kala sedikit dorongan lebih bermakna dari segala macam perbuatan.


Inilah yang kami alami sewaktu melakukan aktiviti ini. Ada peserta yang cekap dan boleh menghabiskan halangan ini dengan mudah. Ada juga peserta yang terpaksa bersusah payah untuk menghabiskan setiap tugasan yang diberikan. Tapi, setiap kali mereka ingin berputus asa, mentor-mentor seperti Chef Alwi, Tuan Zaidi dan Datin Mariam akan menjerit dan memberi semangat. Diikuti pula oleh peserta-peserta yang lainnya. Kalau tak larat, rehat dulu, biar lambat, yang penting sampai.

Inilah sebenarnya kekuatan berjemaah dalam perniagaan.  Bukan setakat networking based on business, tapi friendship that comes from business, yang akan saling membimbing dan membantu. Hinggakan waktu makan pun mentor-mentor tak jemu berkongsi pengalaman dan idea mereka.



PENGHARGAAN KEPADA KELUARGA TATIH JUTAWAN

Chef Alwi yang membongkarkan rahsia kedai mamak, marketing dan persepsi manusia, business decision dan personal decision. Tuan Zaidi dan Puan Maza yang sedia membantu jika diperlukan dan pantang dengan usahawan yang ‘kreatif’ mencipta pelbagai alasan. Datin Mariam yang 'memaksa' kami untuk mencari 25 pengajaran selepas menonton filem The Billionaire. Puan Faridatul Azna yang menyatakan pentingnya untuk kita menjenamakan diri sendiri kerana kebanyakan orang beli produk kerana personal brand yang kita tonjolkan. Tuan Shamsul Bahrir yang menekankan pada kami supaya jangan syok sendiri, kenali siapa pelanggan kita, dan lihat sesuatu dalam gambaran yang lebih besar.

Tidak lupa juga kepada Puan Khadijah dan Puan Rashidah yang berjaya menganjurkan kem ini dengan sangat lancar dan mempertemukan kami dengan mentor-mentor hebat ini walaupun Puan Rashidah tidak dapat bersama kerana ada sedikit kekangan. Tuan Sharizal yang walaupun tidak berkesempatan bersama kami di kem ini namun sentiasa mengingati kami lewat pesanan-pesanan ringkas beliau melalui WhatsApp. Puan Nora yang walaupun sibuk, sempat juga menjeguk kami. Puan Nino Zi yang tekun mengambil gambar yang cantik sepanjang kem ini berlangsung. Tuan Sopian yang mengambil video perjalanan kem ini, memperkenalkan saya dengan tokoh-tokoh online marketer, serta idea tentang being everywhere. Dan, rakan-rakan mentee dalam program Tatih Jutawan ini kerana anda semua memang happening.

Secara rasminya kem kickstart ini selesai pada jam 3 petang. Segala pengalaman manis sepanjang kem ini akan terus diingati. Pengalaman di mana para peserta yang hampir kesemuanya pengusaha produk makanan membawa sampel produk masing-masing untuk dikongsi di dalam kem ini. Boleh dikatakan kem ini penuh dengan ‘aktiviti merasa sampel’ yang sedap-sedap. Ditambah pula dengan makanan yang disediakan pihak hotel. Habis hilang semua diet tapi puas hati!




























Monday, 5 May 2014


Petang tadi saya terima pesanan ringkas dari seseorang yang baru saja saya kenal dalam Program Tatih Jutawan. Katanya malam ini ada program ringkas tentang bisnes. Mungkin ingin berkongsi lebih lanjut tentang Kelab Keusahawan Selangor (KUSel) yang sebelum ini pernah dikongsikannya. Saya pun merasakan harus untuk bertemunya kerana saya merasakan rugi untuk tidak bersama dalam komuniti KUSel. Melalui perkongsian ringkasnya kepada saya sebelum ini, memang banyak kelebihannya kepada usahawan sekiranya terlibat dalam aktiviti KUSel ini.

NETWORK MARKETING?

Namun, saya sedikit terkejut bila dalam pesanan ringkasnya lewat Whatsapp yang bertanyakan adakah saya ada pengalaman dalam networking. Saya mula berasa ada yang tidak kena. Biasanya kalau disebut networking dalam bisnes, saya akan terbayangkan network marketing ataupun cukup dikenali sebagai multi-level marketing. Bukan saya negatif terhadap industri ini yang mana saya sendiri akui ianya sangat bagus jika dilaksanakan dengan cara yang betul. Tapi, saya belum bersedia buat masa ini untuk kembali aktif dalam network marketing


Tambahan pula, saya perlu fokus kepada produk Serunding Ikan Bilis NIKMAT yang baru saja saya lancarkan.

Walaupun sedikit gusar, saya meyakinkan diri yang mungkin persoalan tersebut menjurus kepada konteks networking antara usahawan dan agensi-agensi keusahawanan yang berkaitan. Saya pun bersetuju untuk bertemunya di Pajam, Negeri Sembilan. Saya pergi bersama seorang kawan. Kami sampai di Pajam dalam pukul 9.30 malam. Sampai saja di sana, kami disambut oleh kakak tersebut dan suaminya.

TELAHANKU TEPAT

Setelah dipersilakan duduk dan dijamu air kopi. Kami diperkenalkan kepada Cikgu Azman lalu diberi penerangan tentang perniagaan yang beliau ibaratkan sebagai ‘mesin duit’. Saya mula berasa bersalah kepada kawan di sebelah  yang kelihatan tidak selesa. Namun, kami tetap memberikan respon dan reaksi yang positif untuk menjaga hati tuan rumah yang begitu tekun membentangkan pelan pemasaran.

Kami difahamkan Cikgu Azman adalah seorang yang cukup dikenali dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri network marketing. Kami juga dikhabarkan bahawa beliau juga merupakan salah seorang pengasas kepada syarikat tersebut yang baru berusia 15 hari. Beliau meyakinkan kami untuk bersama menjadi pioneer ataupun yang terawal dalam syarikat tersebut.

Sesi pembentangan diteruskan.

Kami pun diperkenalkan dengan pelbagai jenis bonus dan potensi pendapatan yang bakal diperolehi dalam syarikat tersebut. 

Dalam keghairahan beliau bercerita, sempat juga saya jeling jam di handphone yang sudah menunjukkan jam 11.30 malam. 

Lantas saya memotong percakapan beliau secara baik dan menyatakan hasrat untuk pulang kerana sudah hampir lewat malam. 

Beliau faham dan menghabiskan penggulungan beliau dan memberikan kami borang pendaftaran untuk dibawa balik sekiranya kami sedia untuk bersama beliau dalam syarikat tersebut.

TEKNIK MENCULIK

Teringat kembali ketika saya masih aktif dalam network marketing yang mana saya pun pernah mengajar kumpulan saya menggunakan cara yang sama untuk menjemput prospek. Kami memanggil cara ini sebagai ‘teknik menculik prospek’. Namun, setelah mengetahui keburukan teknik ini, kami sepakat untuk tidak menggunakannya lagi dan bersikap untuk menghormati waktu dan perasaan orang lain. Satu kenangan yang sedikit sebanyak mematangkan saya.

Ada juga positifnya pertemuan saya bersama Cikgu Azmi pada malam ini. Saya dapat refresh teknik tabletalk ataupun prospecting dari seorang networker yang sudah bergelar jutawan dalam beberapa syarikat network marketing dan kini beliau pula merupakan pengasas bagi sebuah syarikat network marketing itu sendiri. Sebenarnya, jika dilihat dari aspek yang lebih luas, skil dan ilmu prospecting ini juga boleh diimplemenkan dan konteks perniagaan konvensional. Kita perlu gunakan pendekatan yang berbeza bergantung pada situasi, namun asas-asas prospecting harus ada.


Sebelum pulang, sempat juga saya berkongsi kepada mereka tentang keenakan Serunding Ikan Bilis NIKMAT dan kuih Simpul Kaseh yang berintikan Serunding Ikan Bilis NIKMAT.





Wednesday, 16 April 2014


Petang Sabtu, 5 April lepas. Saya bersama seorang rakan pergi ke Al-Jenderami untuk merasai pengalaman berada di majlis Haul Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani. Kami mengetahui tentang majlis ini pun melalui seorang kawan yang saya kenal dalam Persatuan Silat Burung Rajawali Putih dan Gerak Pukulan Sekilat Malaysia. Kami yang pertama kali berada dalam majlis sebegini berasa sedikit canggung. Macam rusa masuk kampung pun ada.

KEINDAHANNYA MEMUKAU

Mana taknya. Kawan saya yang belum pernah ke Al-Jenderami membayangkan tempatnya seperti sebuah surau. Sampai-sampai saja, tersergam megah sebuah kompleks yang didalamnya terdapat masjid yang bertembok tinggi dengan hiasannya yang sedikit lain dari masjid-masjid yang ada di sekitar Selangor. 

Saya pula 'sudah' kali kedua sampai ke sana. Jadi, saya yang ‘senior’ sikit terpaksalah buat-buat tahu selok-belok di sini. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya di sini iaitu ada beberapa buah kerusi roda automatik yang disediakan untuk memudahkan warga tua bergerak dari kawasan kediaman ke kawasan masjid. Sangat menarik.

Kami tiba di masjid Al-Jenderami dalam pukul 4.30 petang dan sempat sembahyang asar berjemaah. Usai solat asar, disambung pula dengan majlis tahlil. Sebelum masuk waktu maghrib, kami berjalan-jalan di sekitar masjid Al-Jenderami dan singgah melihat-lihat buku di kedai bersebelahan masjid dan hajatnya ingin membeli makanan di pasar kecil bersebelahannya. Tapi, sayangnya dompet kami dua-duanya ditinggalkan dalam kereta. Telan air liur sajalah nampaknya.

KAMI DITAHAN!

Majlis Haul bermula selepas solat maghrib yang dimulai dengan ceramah tentang sejarah hidup Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani dan teladan yang kita boleh ambil dari kisah hidup beliau. Di samping ceramah tersebut, diselitkan juga alunan qasidah dan selawat yang dipimpin oleh pelajar-pelajar di sini.

Selesai ceramah, kami solat isyak berjemaah. Kami pun bersiap-siap untuk pulang tapi belum sempat kami keluar dari perkarangan masjid, kami ditahan.

Kami diajak untuk makan kambing aqiqah. Apa lagi. Sesi 'melantak' pun bermula. Makanan disediakan dalam talam yang mana satu talam untuk empat orang. Disebabkan kami berdua, kami pun menjemput seorang saudara yang kebetulan lalu di hadapan kami untuk makan sekali bersama kami.

Sambil makan, kami saling bertanyakan nama dan berborak kosong. Rupa-rupanya saudara tersebut adalah salah seorang sukarelawan di sini. Selesai makan. Dia mengajak kami untuk ke pejabat Al-Jendarami untuk mengenali Al-Jenderami dengan lebih lanjut.

YAYASAN AL-JENDERAMI

Kami dibawa ke ruangan pameran yang terdapat di dalam pejabat tersebut. Kami pun ditunjukkan kitab-kitab pengajian dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh Yayasan Al-Jenderami. Rupanya, yayasan ini sudah ke peringkat global aktivitinya. Banyak pengiktirafan dan penghargaan diterima oleh yayasan ini dalam nusantara khususnya dan juga di peringkat antarabangsa.

Sebelum pulang, sempat juga kami menanyakan jika ada kuliah-kuliah pengajian yang dibuka kepada orang awam untuk datang belajar sekali-sekala. Ada katanya. Tapi kena beli dahulu kitab pengajiannya sama ada kita beli di luar ataupun boleh dapatkannya di Yayasan Al-Jenderami (kalau ada stok). Mungkin jika ada kesempatan, kami akan kembali lagi ke sini untuk mengikuti kuliah-kuliah yang dijalankan di sini.


Sampai di sini saja perkongsian saya. Bagi anda yang ingin tahu lebih lanjut tentang Yayasan Al-Jenderami, boleh saja ke laman web Al-Jenderami untuk anda melihat jadual aktiviti dan juga galeri gambar yang disediakan.




Wednesday, 2 April 2014



Sehari dua ini bila saya membrek kereta pasti akan keluar bunyi besi bergesel. Itu tandanya brake pad kereta saya sudah habis. Sudah tiba waktunya kereta saya melepak di bengkel untuk ditukar brake pad baru.

Mengingatkan pesan seorang kawan. “Kalau brek kereta rosak jangan tunggu lama-lama. Terus tukar, kerana ianya melibatkan keselamatan kita dan penumpang lain.”

Tapi, saya ada satu sikap yang negatif. Selalu menangguhkan kerja. Natijahnya, bukan saja saya kena tukar brake pad, tapi terpaksa pula tukar brake disc sekali kerana brake disc kereta sudah kasar kerana saya lambat tukar brake pad.

Agaknya inilah yang dikatakan sindrom kebocoron wang. Sepatutnya saya dapat jimat sedikit duit, namun terpaksa keluar juga untuk beli brake disc baru dek kerana suka menangguh pekerjaan. Namun,saya harus akur. Itu adalah rezeki si tukang baiki kereta saya.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang menukar brek depan, apa salahnya jika betulkan sekali brek tangan. Siap dengan tukar minyak hitam. Keluar lagi duit.

Pengajarannya di sini, jangan jadi seperti saya. Jangan suka menangguhkan sesuatu terutamanya jika ia benda yang penting. Saya sudah banyak kali terkena, namun tak serik-serik juga. Mungkin lepas ini saya perlu senaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan mengikut prioriti. Yang mana perlu dibuat dahulu, harus segera dilaksanakan segera mengikut keadaan.

Hari ini saya belajar sesuatu. Kita perlu ada ‘to-do-list’ supaya mudah untuk kita merancang apa yang perlu dilakukan dan tidak terlepas pandang perkara-perkara yang penting

Thursday, 27 March 2014


Anda pernah ke Pesta Buku Big Bad Wolf? Anda pasti akan merasai keseronokan membeli buku pada harga yang sangat murah. Mana taknya. Setiap buku dijual pada harga diskaun sebanyak 75% ke 95%. Hinggakan ada buku yang berharga RM1!


Kali ini Big Bad Wolf yang berlangsung di MIECC, Mines tampil dengan idea yang lebih menarik. The Big Bad Box Sale.

Untuk jualan buku kali ini, anda tidak boleh membeli buku seperti biasa. Anda hanya boleh membeli kotak. Kotak?

 Ya, anda hanya perlu membeli kotak yang disediakan dalam dua saiz. Kotak dari luar tidak dibenarkan. Apa yang perlu anda lakukan adalah memenuhkan buku-buku yang anda pilih ke dalam kotak yang telah anda beli tadi. Menarik bukan.

Anda bebas mengisi apa saja jenis buku tanpa mengira saiz asalkan kotak anda boleh ditutup. Ini adalah kerana sebelum anda melepasi pintu keluar, kotak anda akan dilekatkan dengan pita pelekat. Jadi, anda harus bijak menyusun buku-buku anda bagi mengoptimumkan penggunaan ruang di dalam kotak tersebut.

Hasilnya, saya dapat mengisi 56 buah buku ke dalam kotak yang bersaiz besar. Antaranya adalah buku-buku berkaitan bisnes, kesihatan, dan sebagainya.


Tips dari saya ialah anda harus pergi bersama kawan-kawan jika anda merasakan harga kotak yang dijual agak mahal. 



Contohnya anda pergi bertiga dan kongsi sebuah kotak. Jangan risau kerana kotak yang berharga RM99.90 itu boleh memuatkan 40 ke 60 buah buku jika anda pandai menyusunnya seperti yang saya nyatakan sebelum ini.

The Big Bad Box Sale ini akan berakhir pada 30 Mac, pukul 9 malam. Pada anda yang ingin menambah koleksi buku anda, jangan lepaskan peluang ini. Masih tinggal beberapa hari lagi untuk anda berhadapan dengan Serigala Jahat ini. 

Saturday, 22 March 2014



Sejujurnya saya sebelum ini agak asing dengan majlis zikir dan selawat. Hanya mendengar cerita dari kawan-kawan yang bersama tarekat. Seronok kata mereka. Saya sekadar membayangkan apakah rasanya berada dalam majlis membesarkan Allah dan Rasul-Nya. Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bila kita sudah rasa getarnya hati semasa berada dalam majlis ini, maka kita akan faham mengapa banyak jiwa-jiwa yang sentiasa merindukan Allah dan Rasul.

Secara ringkasnya, Selawat Perdana yang diadakan semalam merupakan kali kedua saya berada dalam majlis  maulud seperti ini. Ia juga rentetan dari malam cinta rasul yang diadakan di Masjid Besi, Putrajaya dua minggu sebelum Selawat Perdana ini. Cuma kali ini, liputannya lebih meluas dan saya melihat lautan manusia yang turut sama bermaulid pada malam ini.

Saya dan Faiz bergerak tiba di kawasan masjid dalam pukul enam petang dan kami terpaksa meletakkan kereta di belakang bangunan kastam Putrajaya kerana jalan untuk ke masjid tersebut ditutup. Kehadiran kami disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu dan kami diberikan sebotol air mineral 500ml, sekeping sejadah, senaskah Yaasin, dan senaskah bacaan selawat.

Sepanjang perjalanan kami ke arah masjid yang jaraknya hampir 500meter, kami melihat kanan dan kiri ada gerai-gerai menjual makanan, pakaian, dan sebagainya. Sebelum masuk ke perkarangan masjid untuk bersiap-siap untuk solat maghrib, kami bergambar berlatarbelakangkan masjid Putrajaya. Sempat juga kami berlagak seperti pelancong luar. Kononnya supaya orang disekitar tidak pelik melihat lagak  kami yang seolah-olah pertama kali sampai ke sini.

Majlis alunan selawat dan qasidah bermula selepas solat Isyak yang mana kami dibimbing oleh Habib Syeich Bin Abdul Qodir Assegaf. Antara qasidah yang kami alunkan adalah Ya Hanana, Madad, Padang Bulan dan sebagainya. Meremang juga bulu roma bila satu himpunan manusia bersatu dalam mengalunkan selawat kepada Rasul. Perasaannya sukar di gambarkan dan anda hanya akan tahu bila turut sama dalam majlis ini.

Malam ini juga kami sama-sama menadah tangan memohon keampunan dan keselamatan terutamanya pada penumpang dan anak kapal MH370. Semoga mereka selamat dan misteri MH370 ini dapat dirungkaikan dengan segera.

Saya juga agak tersentak semasa bacaan doa oleh Habib Syeich yang mana beliau memohon supaya Malaysia sentiasa dalam keselamatan dan dihindarkan dari fitnah.

Beliau mengulang-ngulang doa tersebut dengan penuh pengharapan bagaikan ada suatu benda berat yang akan berlaku di Tanah Melayu ini. Mungkin itu cuma fikiran liar saya sahaja dan harap-harap kita sentiasa berada dalam keadaan yang aman. Apa yang boleh saya kata, majlis malam ini berjalan dengan lancar dan berakhir pun dengan lancar.

Jika ditanya pendapat dan komen saya, tentu saja saya akan kata ianya sangat bagus dan berharap majlis seperti ini perlu diadakan lagi.

Tuesday, 18 March 2014


HIDUP TANPA AIR

Sudah sebulan lebih masalah air melanda kampung. Adakah ujian ini membuatkan kita lebih berfikir ataupun sekadar sibuk menyalahkan orang lain? Mungkin di saat kita sibuk mengeluh, ada pihak-pihak yang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah ini  dan ada juga individu-individu yang sudah mula memikirkan alternatif untuk mengurangkan masalah ini.

Krisis air yang panjang ini mengingatkan saya pada sebuah rancangan yang disiarkan oleh KBS World bertajuk Real Experience Project : The Human Condition. Rancangan ini adalah sebuah pilot program yang menampilkan pelbagai kisah yang terpaksa dilalui oleh enam orang komedian apabila mereka terpaksa menjalani kehidupan seharian tanpa keperluan asas.


20 LITER SEHARI?!

Kesemua mereka akan ditempatkan di sebuah rumah selama tujuh hari tanpa keperluan asas tertentu seperti telefon bimbit, internet dan elektrik. Perkara-perkara ini sangat penting dalam kehidupan moden ketika ini. Bagi episod ini, misi mereka adalah untuk hidup tanpa air selama seminggu.

Segala pengalaman mereka akan dikongsikan dalam rancangan ini terutamanya tentang perubahan gaya hidup yang mendadak dan sikap mereka bila mana nikmat air ‘ditarik’ seketika.

Mereka diberi 20 liter air sehari dan harus melakukan aktiviti harian dengan jumlah tersebut. Bayangkan anda perlu mandi, basuh baju, memasak, dan sebagainya dengan hanya 20 liter air! Anda harus menonton rancangan tersebut untuk mendapat idea tentang survival mereka dalam keadaan tersebut selama seminggu. Anda boleh aplikasikan teknik mereka dalam kehidupan seharian. Berbaloi untuk ditonton.


3 LANGKAH PENJIMATAN AIR

Anda juga boleh melakukan penjimatan anda sendiri. Di sini saya kongsikan beberapa langkah mudah yang boleh kita amalkan untuk menjimatkan air. Segalanya bermula dari diri anda sendiri.


1. Tandas

Gunakan tandas yang mempunyai keupayan flushing atau curahan yang rendah (6 liter atau kurang). Ataupun ada boleh letak sebotol air ke dalam tangki curahan untuk mengurangkan air yang dicurah. Seeloknya, kurangkan flushing dalam sehari.

Kurangkan ‘berasap’ ketika di dalam tandas.

Sekali-sekala, letakkan pewarna ke dalam tangki curahan. Periksa kebocoran dengan melihat jika terdapat air berwarna yang meleleh keluar selepas anda flush.

2. Bilik Mandi

Kurangkan masa mandian dan tutup pancuran ketika bersabun. Seeloknya gunakan sabun organik kerana buihnya kurang dan mudah untuk dibilas.

Jangan biarkan air mengalir ketika sedang memberus gigi. Penting.

3. Dapur

Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk sebaliknya gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki.  Cuci sayuran, buah-buahan dan makanan di dalam sinki atau bekas yang berisi air untuk elakkan air mengalir.

Air dari basuhan sayuran atau beras boleh digunakan untuk menyiram tanaman di sekitar rumah.

Selain itu, pastikan mesin basuh penuh muatan cucian kerana setiap cucian akan menggunakan jumlah air yang sama walaupun pakaian yang dibasuh hanya sedikit sahaja.


SISTEM PENGUMPULAN HUJAN

Anda juga boleh mengurangkan bil air dengan mengumpul air hujan bagi kegunaan luar seperti untuk menyiram tanaman dan membasuh kereta. Bermacam cara dan teknik yang disediakan untuk kita menghasilkan mekanisme yang dapat mengumpul air hujan untuk kegunaan domestik.

Sistem pengumpulan air hujan yang dipasang di rumah memang sangat membantu. Sebagai contoh, anda boleh lihat di sini untuk mengetahui cara mudah membina sistem pengumpulan air hujan yang boleh diaplikasikan di rumah anda.

Selamat mencuba!

Monday, 17 March 2014


Orang kata gemuk kurus tak mustahak,

Yang penting pembawakan kita di khalayak,

Tapi bagi aku, gemuk itu tak sihat,

Jalan sikit dah penat,

Nak bersukan pun dah tak larat,

Minta maaf pada siapa yang melihat,

Sebab aku pun turut sama terlibat.



HEAVYWEIGHT

Saya tergolong antara insan-insan heavyweight. Dengan ketinggian 1.71m. Sering saya cemburu pada ketinggian artis-artis Korea yang puratanya 1.80m. Mungkin kalau ada petua untuk menambahkan ketinggian bolehlah saya cuba. Namun, jika saya menyandarkan pada sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 1996 yang mana menyimpulkan bahawa ketinggian lelaki di Malaysia adalah 1.65m, ketinggian saya boleh dianggap normal. Saya tidaklah tinggi, rendah pun tidak.

Walaubagaimanapun, yang menjadi kegusaran saya adalah berat badan yang kini hampir mencecah 105kg!  Sebagai rekod, berat saya pada tahun 2008 adalah 75kg.



BODY MASS INDEX (BMI)

Setelah melakukan perkiraan, Body Mass Index (BMI) saya adalah 35. Bagi siapa yang kurang jelas, BMI adalah satu indikator yang dicipta untuk mengukur body fat berdasarkan kepada tinggi dan berat. Indeks ini tidak dapat mewakili kesihatan kita secara tepat, namun, ianya dapat menentukan status berat kita sama ada kurang berat, normal, ataupun terlebih berat.

Bagaimanakah caranya untuk kita merancang ataupun mengawal berat badan berpandukan kepada nilai BMI? 

Formula untuk BMI adalah berat(kg)/(tinggi(m))2. Manakala, BMI yang normal adalah diantara 18 ke 25. Untuk saya mendapatkan BMi dari 35 ke 25, saya perlu mendapatkan berat yang ideal iaitu 73.1kg. Berat saya sekarang adalah 104.3kg. Maka, saya perlu menurunkan berat sebanyak 31.2kg!

Satu usaha yang berterusan dan bersistematik diperlukan bagi menurunkan berat sebanyak itu. Ramai orang membuat kesilapan dengan melakukan diet secara sembrono bagi mencapai matlamat berat mereka. Kebanyakan mereka akan bersemangat untuk menjaga diet pada peringkat awal, kemudian mereka akan kecewa kerana tidak mendapat perubahan yang ketara. Sebaliknya, mereka hanya berjaya untuk menahan lapar sahaja. Tanpa perancangan yang rapi, kita juga akan mengalami yo-yo dieting. Sebelum ini, saya mengalami masalah yang sama. Jadi, mari kita sama-sama merancang diet yang betul.


TIMELINE

Untuk kali yang ke ‘dua ribu’, saya akan reset azam untuk kurangkan berat badan kerana usaha-usaha sebelum ini setakat berhenti di pertengahan jalan. Hangat-hangat tahi ayam. Mungkin perancangan diet kali ini berjaya, siapa tahu. Namun, sedikit sebanyak saya dapat mengutip beberapa ilmu berdasarkan dari pengalaman-pengalaman yang lepas.

Sebelum kita bermula, perkara pertama yang kita harus lakukan adalah menetapkan timeline yang logik dan tidak membebankan. Anda tidak perlu terburu-buru kerana anda hanya akan merosakkan badan jika terlalu memaksa badan anda. Menurunkan berat dengan cara yang sihat adalah keutamaan.

Antara yang perlu dalam timeline anda ialah tarikh anda ingin bermula dan tarikh akhir. Garis masa ini akan menjadi panduan supaya anda sentiasa dalam landasan. Berat awal dan berat akhir yang ingin dicapai juga perlu ada. Bagi memudahkan anda, saya menyarankan anda menggunakan mana-mana apps yang boleh membantu anda.

Ada pelbagai apps yang boleh membantu anda, contohnya apps yang selalu gunakan adalah Libra WeightManager. Apps ini akan membantu anda dalam beberapa perkara antaranya berapa kalori yang diperlukan dalam sehari dan jumlah berat yang perlu dikurangkan dalam seminggu. Anda juga dapat melihat perkembangan berat anda melalui graf yang disediakan.


DAILY CALORY REQUIREMENT (DCR)

Bila anda sudah jelas dengan timeline diet anda, strategi seterusnya adalah dengan mengawal pengambilan kalori. Bagi menurunkan berat badan, pengambilan kalori anda perlu kurang daripada kalori yang diperlukan. Anda perlu tahu berapa jumlah keperluan kalori yang badan kita perlukan dalam sehari, Daily Calory Requirement (DCR).

Sebelum kita mengetahui nilai DCR, kita perlu tahu nilai BMR, Basal Metabolic Rate terlebih dahulu. BMR adalah jumlah kalori yang digunakan dalam sehari bagi menggerakkan sistem badan kita. Formulanya begini,

Perempuan = 655 + (9.6 x berat,kg) + (1.8 x tinggi,cm) – (4.7 x umur)
Lelaki = 66 + (13.7 x berat,kg) + (5 x tinggi,cm) – (6.8 x umur)

Untuk memudahkan anda faham, kita ambil kes saya sebagai bahan kajian.

Afandi = 66 + (13.7 x 1043) + (5 x 171) – (6.8 x 24)

Mengikut formula di atas, Basal Metabolic Rate (BMR) saya adalah 2186.7 kalori sehari. Maksudnya, kalau saya tidur sepanjang hari pun, kalori yang badan saya bakar adalah sebanyak itu.

DCR pula dikira mengikut activity level kita seharian.  Ianya berdasarkan aktiviti fizikal kita. Jika mengikut kes saya, mungkin di skala 2 (1.375). Maka,

DCR = BMR x 1.375 = 3006.7 kalori sehari.

Sifirnya mudah. kalau kalori yang diambil kurang dari 3006.7 sehari. Berat badan saya akan turun.

Nampak mudah bukan?!

Tapi yang menjadi masalah adalah untuk mengawal pengambilan kalori kerana anda tidak boleh hanya makan sayuran atau buah sahaja. Diet yang seimbang mempunyai nisbah makanan yang betul seperti protein, lemak, karbohidrat yang betul selain dari sayuran dan buah-buahan.

Di lain kesempatan, saya akan berkongsi tentang cara untuk mendapatkan diet yang seimbang tetapi masih lagi dalam julat kalori yang kita perlukan. Atau, mungkin saya akan berkongsi tentang afterburn effect seperti yang banyak digunakan dalam rejim latihan fitness celebrities yang terkenal seperti Kevin Zahri, Mike Chang, Chris PowellJillian Michaels, dan ShinOhtake.  



Dengan ini, saya mengisytiharkan diet plan untuk kali yang ke 'dua ribu'.

Wednesday, 26 February 2014



Tiba-tiba rajin pula Dayat mengajak untuk berjoging petang ini. Bagus juga sebab saya pun memang memerlukan senaman kardio. Nak turunkan berat badan kononnya. Cuma bila sudah lama tidak berjoging, saya jadi sedikit kekok. Rasa lain macam. Agaknya sebab itulah saya joging tidak sampai sepuluh minit dah berhenti.


Salah kasut ke? Salah teknik ke? Mungkin perlukan sedikit masa. Memang seronok kalau berjoging di Putrajaya Lakeside kerana pemandangannya yang menarik. Banyak yang dapat kita saksikan sepanjang berjoging di sini. Bagai ada kelainannya di sini dari segi landskap, binaan, dan suasananya yang sentiasa menggamit kita untuk berada di sini.


Ada jeti kecil yang seolah terapung di permukaan tasik yang lembut beralun. Di kejauhan terlihat bangunan tinggi megah berdiri sambil bayangnya sibuk menari meliuk mengikut alunan air tasik yang dihembus angin petang. Bangunan apa pun saya tak pasti. Ada juga terlihat menara tinjau tapi saya tak sempat untuk menapak ke sana kerana maghrib sudah semakin hampir. Kalau ada kesempatan saya akan melihat pemandangan dari menara tersebut. Tentu lebih menarik.




Sebenarnya trail  joging di sini agak panjang sehingga ke medan ikan bakar yang berhadapan PICC. Banyak lagi tarikan indah yang boleh disaksikan. Cukuplah dulu untuk petang ini. Petang di Putrajaya Lakeside.