Tuesday, 3 June 2014

 

Dewasa ini, banyak usahawan-usahawan baru yang muncul. Mungkin atas faktor kos sara hidup yang meningkat dan semakin menekan. Maka, ramai yang mengambil keputusan untuk menambah pendapatan melalui perniagaan sama ada melalui produk mereka sendiri ataupun menjadi agen kepada produk lain.

Saya melihat perkara ini sebagai satu trend yang bagus kerana ianya dapat memecahkan monopoli syarikat-syarikat besar dan memberikan pengguna lebih pilihan dalam berbelanja. Namun, tidak semua usahawan ini mampu untuk bertahan dalam bidang perniagaan kurang dalam masa dua tahun. Terdapat pelbagai sebab kenapa perkara ini berlaku. Antaranya adalah kurangnya pengalaman, tiada asas pengurusan wang, pemasaran yang tidak berkesan, tiada saluran yang betul, dan pelbagai masalah lain.

ANDA BUKAN SUPERHERO

Di sini saya ingin kongsikan satu daripada pelbagai kesilapan yang sering dilakukan oleh para usahawan di luar sana ataupun mungkin kita sendiri yang melakukannya, iaitu menjalankan perniagaan secara bersendirian. Mereka sendiri yang uruskan production, marketing, logistic, financing, dan sebagainya.

Peringkat awal mungkin kita boleh uruskan kerana perniagaan kita masih dalam skala yang kecil. Namun, bagaimana jika permintaan terhadap produk kita semakin bertambah hingga di satu tahap kita tidak mampu untuk melakukannya sendirian?

Bagaimana pula untuk kita promosi ataupun mengiklankan produk kita? Kita kena tahu bahawa kadang-kala kos untuk create awareness tentang produk kita lebih tinggi dari kos untuk menghasilkan produk tersebut.

Sebenarnya, ada satu rahsia untuk anda promosikan perniagaan anda dengan cara yang sangat murah dan berkesan. Yang paling penting, ianya boleh memberi impak kepada perniagaan anda.

BAGAIMANA CARANYA?

 If you want to go quickly, go alone. If you want to go far, go together.

Ya. Rahsianya adalah berjemaah.


J.T. Foxx pernah berkongsi tentang 4 elemen penting yang perlu ada dalam setiap perniagaan yang berjaya dan salah satunya adalah relationship ataupun networking.

Alhamdulillah. Dalam program Tatih Jutawan, kami mengamalkan konsep networking atau berjemaah walaupun kami mempunyai pelbagai produk dan perniagaan. Suka untuk saya petik kembali kata-kata dari salah seorang peserta Tatih Jutawan, Mustaqim Mahfar.

Allah suka hamba-hambaNya berjemaah dalam solat dan seterusnya apply konsep itu di tempat lain juga.

Dalam bisnes, acuan yang sama perlu dicorakkan. Bina team, bahagi-bahagikan task. Production, marketing, finance, admin dan lain-lain. Jangan buat kerja sorang-sorang. Be smart.

BERKONGSI ILMU DAN KEPAKARAN

Hari ini peserta Tatih Jutawan diberi penerangan yang mendalam tentang Business Model Canvas (BMC) oleh Tuan Shamsul Bahril aka The Catalyst. Bagi anda yang tidak tahu tentang BMC, ianya adalah satu elemen dalam satu set perancangan perniagaan yang kompleks iaitu Business Model Generation (BMG). BMC bertindak sebagai satu interpretasi maklumat yang ringkas dan padat tentang mekanisma perniagaan kita secara menyeluruh. Dan, BMC tidak hanya dilakukan sekali, sebaliknya ianya harus dilakukan berulang-ulang kali hingga kita dapat satu model perniagaan yang sempurna.

Seronoknya tentang program Tatih Jutawan ini adalah ianya bukan semata-mata kelas teori sahaja. Kami terus apply ilmu BMC ke dalam projek rasmi Tatih Jutawan yang akan berlangsung pada 21 Jun hingga 27 Jun ini. Di sinilah kami dapat melihat bagaimana BMC itu berfungsi dan signifikannya terhadap perniagaan kami. Selain itu, kami dapat berjemaah dalam perniagaan yang mana kami saling memberi idea dan pendapat bernas untuk projek tersebut.

KEBAIKAN NETWORKING DALAM PERNIAGAAN

Hasilnya, kami telah dapat merancang satu model yang bakal memberi impak kepada perniagaan setiap peserta dan penjenamaan Tatih Jutawan itu sendiri.

Kami telah mendapatkan booth yang banyak pada harga yang murah, kos pemasaran yang dikongsi bersama, pembahagian tugas supaya setiap perancangan dapat berjalan dengan lancar, capaian kepada pelanggan berpotensi dengan lebih luas, dan suasana booth yang pastinya akan meriah dengan pelbagai aktiviti serta boleh menjadi viral dalam media sosial.

Pastinya ia tidak boleh dilakukan jika kami bergerak secara sendirian.

SIAPA KUMPULAN ANDA?



Itu kisah kami, Keluarga Tatih Jutawan. Bagaimana dengan anda? Adakah anda sudah ada networking ataupun kumpulan perniagaan anda sendiri?


Jika belum, mungkin ini masanya untuk anda mencari kumpulan tersebut. Dan, jika anda ingin melihat bagaimana kuatnya Keluarga Tatih Jutawan ini, anda boleh berjumpa kami di SME Week nanti.




Tuesday, 20 May 2014


Tanggal 18 dan 19 Mei 2014. Program Tatih Jutawan : Kickstart telah berjalan dengan gemilangnya di Genting View Resort, Genting Highland. Secara ringkasnya, program ini diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan dan saling mengenali antara mentor dan peserta dalam program Tatih Jutawan. Sehubungan itu, pihak penganjur telah merancang suasana program ini agar ianya berbentuk santai tapi penuh dengan pengisian.

SESI PENDAFTARAN YANG 'KELAM KABUT'

Kem dimulakan dengan sesi pendaftaran yang unik di mana kami dikehendaki melantik seorang ketua dan arahan pertama hanya akan diberi kepada ketua. Arahannya adalah para peserta akan masuk ke dalam dewan aktiviti dan harus mencari tag nama masing-masing yang ‘disepahkan’ dan buat susunan untuk mengambil gambar. Semuanya harus dilakukan dalam masa yang paling singkat. Kami mengambil keputusan supaya hanya dua ke tiga peserta saja yang akan mencari tag nama dan berikannya kepada peserta lain bagi mengelakkan suasana kelam kabut.


Kami berjaya juga menghabiskan tugasan pertama dalam masa lebih dua minit. Agak lambat sebenarnya kerana  bila saja pintu dewan dibuka muzik dipasang dengan kuat dan lampu dewan ditutup. Keadaan menjadi kelam kabut kerana peserta terpaksa menjerit untuk memberi tag nama kawan dan terpaksa meraba dalam kegelapan.
“Begitulah kita dalam kehidupan. Kita sering diganggu oleh kesusahan dan dilekakan dengan kesenangan. Tapi, kita akan dapat apa yang kita hajatkan jika kita fokus.”

Mukaddimah yang sangat mendalam oleh ‘guru besar’ program Tatih Jutawan, Tuan Shamsul Bahrir aka The Catalyst. Beliau kemudiannya menerangkan tentang perjalanan kem ini dan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi sepanjang kem ini berjalan. Kem diteruskan dengan sesi berkenalan yang mana kami perlu mengenalkan diri dan perniagaan di hadapan mentor yang bertindak sebagai ‘juri’ untuk menilai elevator pitch setiap peserta.


PASSION AND PRODUCT VALUE

Banyak komen-komen bernas diberikan oleh mentor yang merangkumi aspek keyakinan, product knowledge, pemilihan ayat dan sebagainya. Saya juga teringat komen Mentor Puan Maza Asma tentang apa value produk yang kita hendak berikan kepada orang ramai dari segi manfaat produk itu sendiri dan dari aspek keusahawan. Juga sedikit peringatan dari Mentor Pn. Faridatul Azna tentang passion kita terhadap produk dan bagaimana kita ingin menunjukkan keterujaan kita kepada orang ramai.


Selepas itu, kami dibahagikan kepada empat kumpulan yang mana setiap kumpulan akan ‘dijaga’ oleh seorang mentor. Setiap kumpulan diberi sehelai kertas mahjong dan dikehendaki mencipta nama kumpulan, logo, dan warcry kumpulan masing-masing.

Kumpulan saya cukup bertuah kerana dibimbing oleh Mentor Datin Siti Mariam yang cukup sistematik dalam proses brainstorming idea. Hasilnya, dalam masa yang singkat kami berjaya menghasilkan logo kumpulan yang bersayap memberi makna bahawa kumpulan kami yang sedia untuk terbang tinggi, diperhalusi dengan lima pelepah mewakili lima peserta, dan kilat di tengahnya yang melambangkan kepantasan kumpulan kami. Kumpulan kami diberi nama Flash Wing dan oleh kerana kami berpegang bahawa ‘fast action fast result’, slogan dan warcry kami adalah,

We lead by the speed!
SESI BRAIN TEASERS

Selain itu juga, ada juga sesi ‘memeningkan’ kepala yang mana kami diberikan soalan-soalan ‘budak tadika’ bak kata Tuan Shamsul. Namun, sesi Brain Teasers ini bukan sekadar menjawab soalan tapi diselitkan juga mesej yang mungkin saja boleh mengubah cara fikir kita. Anda ingin cuba? Tapi pastikan anda jawab dengan jujur dan jangan skip mana-mana soalan. Jawab ikut turutan soalan supaya anda dapat mesej yang ingin disampaikan.



Anda dapat jawab soalan di atas?

Ada ketikanya kita perlu keluar dari kerangka pemikiran yang biasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seorang usahawan perlu memiliki idea-idea yang ‘pelik’ untuk menarik perhatian pelanggan dan supaya perniagaan kita lebih menonjol. Itulah yang kita panggil pemikiran di luar kotak.

Namun, ada juga waktunya di mana kita cenderung untuk merumitkan keadaan. Seperti soalan di atas, jika kita selalu dihadapkan dengan kesukaran, kita akan cenderung untuk merumitkan keadaan walaupun sebenarnya ada penyelesaian yang sangat mudah. Oleh itu, kita perlu pandai untuk membezakannya.

Jika anda dapat menjawab semua soalan di atas mengikut urutan, anda akan faham.

"SURPRISSEEEEEE!!"

Itulah yang tertulis di tentative program. Aktiviti untuk hari pertama diteruskan pada sebelah malam selepas selesai makan malam. Bagi saya ini adalah sesi yang paling seronok kerana kami hanya perlu menonton filem yang ala-ala wayang pacak. Ada yang tekun menonton, ada yang berbaring, ada juga yang sampai tertidur. Kepenatan agaknya. Tapi, kredit harus diberikan kepada pihak penganjur kerana memilih untuk menayangkan filem The Billionaire yang juga dikenali sebagai Top Secret : Wai Roon Pan Lan.

Sebuah filem yang menceritakan tentang seorang billionaire muda dari Thailand yang bernama Aitthipat Kulapongvanich, ataupun lebih dikenali dengan Tob TaoKaeNoi. Plot filem ini yang berkisar tentang siri-siri kegagalan dan kekangan yang terpaksa Tob hadapi namun beliau tetap ‘degil’ dan terus mencuba hingga akhirnya ‘kegilaan’ beliau mendatangkan kejayaan. Hasilnya kini, produk TaoKaeNoi telah berada 53,000 outlets 7-Eleven di 16 buah negara.

Jika anda pernah menonton filem ini, anda akan perasan Tob sering mendengar rakaman pensyarahnya tentang unlimited thinking. Pensyarah Tob memberitahu bahawa unlimited thinking lebih besar peranannya dari thinking out of the box.

Ianya bertindak di bawah minda separa sedar yang sebenarnya kritikal terhadap kejayaan yang akan diperoleh.

Yakin.

Adakah kita cukup yakin apa yang sedang kita lakukan sekarang akan memberi kejayaan kepada kita? Yang pasti keyakinan inilah yang membuatkan Tob menjadi seorang yang sangat berjaya dan menjadikan beliau seorang yang ‘degil’ dan ‘gila’. Tapi dalam cara yang positif.

OUTDOOR ACTIVITIES

Hari kedua pula kami melakukan beberapa aktiviti fizikal iaitu Web Crossing, Gibbon Crossing, dan Fireman Crossing. Setiap peserta dikehendaki melintasi sebatang sungai kecil melalui tiga cara yang berbeza. Simboliknya halangan-halangan ini menunjukkan bahawa ada ketikanya kita terpaksa untuk melalui cabaran seorang diri. Tiada siapa yang dapat tolong. Hanya ada kita, usaha, doa, dan tawakkal. Namun, di sebalik kepayahan yang kita hadapi, kita akan dapat melihat kawan-kawan yang sudi bersorak dan memotivasi kita walaupun secara zahirnya mereka tidak dapat membantu kita. Kadang-kala sedikit dorongan lebih bermakna dari segala macam perbuatan.


Inilah yang kami alami sewaktu melakukan aktiviti ini. Ada peserta yang cekap dan boleh menghabiskan halangan ini dengan mudah. Ada juga peserta yang terpaksa bersusah payah untuk menghabiskan setiap tugasan yang diberikan. Tapi, setiap kali mereka ingin berputus asa, mentor-mentor seperti Chef Alwi, Tuan Zaidi dan Datin Mariam akan menjerit dan memberi semangat. Diikuti pula oleh peserta-peserta yang lainnya. Kalau tak larat, rehat dulu, biar lambat, yang penting sampai.

Inilah sebenarnya kekuatan berjemaah dalam perniagaan.  Bukan setakat networking based on business, tapi friendship that comes from business, yang akan saling membimbing dan membantu. Hinggakan waktu makan pun mentor-mentor tak jemu berkongsi pengalaman dan idea mereka.



PENGHARGAAN KEPADA KELUARGA TATIH JUTAWAN

Chef Alwi yang membongkarkan rahsia kedai mamak, marketing dan persepsi manusia, business decision dan personal decision. Tuan Zaidi dan Puan Maza yang sedia membantu jika diperlukan dan pantang dengan usahawan yang ‘kreatif’ mencipta pelbagai alasan. Datin Mariam yang 'memaksa' kami untuk mencari 25 pengajaran selepas menonton filem The Billionaire. Puan Faridatul Azna yang menyatakan pentingnya untuk kita menjenamakan diri sendiri kerana kebanyakan orang beli produk kerana personal brand yang kita tonjolkan. Tuan Shamsul Bahrir yang menekankan pada kami supaya jangan syok sendiri, kenali siapa pelanggan kita, dan lihat sesuatu dalam gambaran yang lebih besar.

Tidak lupa juga kepada Puan Khadijah dan Puan Rashidah yang berjaya menganjurkan kem ini dengan sangat lancar dan mempertemukan kami dengan mentor-mentor hebat ini walaupun Puan Rashidah tidak dapat bersama kerana ada sedikit kekangan. Tuan Sharizal yang walaupun tidak berkesempatan bersama kami di kem ini namun sentiasa mengingati kami lewat pesanan-pesanan ringkas beliau melalui WhatsApp. Puan Nora yang walaupun sibuk, sempat juga menjeguk kami. Puan Nino Zi yang tekun mengambil gambar yang cantik sepanjang kem ini berlangsung. Tuan Sopian yang mengambil video perjalanan kem ini, memperkenalkan saya dengan tokoh-tokoh online marketer, serta idea tentang being everywhere. Dan, rakan-rakan mentee dalam program Tatih Jutawan ini kerana anda semua memang happening.

Secara rasminya kem kickstart ini selesai pada jam 3 petang. Segala pengalaman manis sepanjang kem ini akan terus diingati. Pengalaman di mana para peserta yang hampir kesemuanya pengusaha produk makanan membawa sampel produk masing-masing untuk dikongsi di dalam kem ini. Boleh dikatakan kem ini penuh dengan ‘aktiviti merasa sampel’ yang sedap-sedap. Ditambah pula dengan makanan yang disediakan pihak hotel. Habis hilang semua diet tapi puas hati!




























Friday, 16 May 2014


Siapa yang tak suka makan roti john?

Majoriti rakyat Malaysia pasti menggemari rasanya yang sedap. Tambahan pula, jika ianya baru saja dimasak. Pasti kita akan terliur. Sebab itu jugalah roti john merupakan makanan 'wajib' yang selalu kita lihat di pasar-pasar malam. Setuju?

Tapi, pernahkan anda mencubanya sendiri di rumah? Sebenarnya cara-cara untuk menghasilkan roti john bukanlah susah. Di sini saya kongsikan tutorial ringkas bagaimana untuk mendapatkan roti john yang unik dan pastinya enak. Saya juga akan sertakan video tutorial beserta slideshare supaya anda lebih jelas.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :

  1. Serunding Ikan Bilis NIKMAT
  2. roti ban
  3. telur
  4. mentega
  5. mayonis, dan
  6. sos cili


PROSES PENYEDIAAN

Cara-caranya adalah :

  1. Belah roti ban kepada dua bahagian.
  2. Pecahkan dua biji telur.
  3. Tambahkan Serunding Ikan Bilis NIKMAT ke dalam telur tadi.
  4. Kacau campuran tadi.
Setelah selesa langkah-langkah di atas, kita ke proses menggoreng pula.


PROSES MENGGORENG

Untuk menggoreng pula anda perlu :

  1. Panaskan kuali terlebih dahulu. Kemudian, letakkan sedikit mentega.
  2. Tuangkan adunan tadi ke dalam kuali.
  3. Kemudian letakkan roti ban yang telah dibelah tadi ke atas adunan.
  4. Setelah beberapa ketika, terbalikkan roti ban dan angkat.
  5. Sapukan mayonis dan sos cili.


TIPS

  1. Semasa proses menyapu mayonis dan sos cili, anda boleh menambah sedikit lagi Serunding Ikan Bilis NIKMAT untuk rasa yang lebih enak.
  2. Pastikan api kecil semasa memasukkan adunan telur dan serunding.
  3. Pastikan juga anda masak lebih kerana sudah pasti satu tidak cukup!
Selesai segala langkah mudah di atas, anda sudah boleh menikmati roti john buatan sendiri di rumah. Cukup mudah.

Anda ingin tutorial yang lain? Boleh saja ke Tutorial dan Resipi untuk melihat tutorial lain yang telah saya sediakan. Saya akan menambah tutorial dari semasa ke semasa. Semoga perkongsian saya kali ini bermanfaat untuk anda. Jangan lupa untuk kongsikannya bersama keluarga dan rakan-rakan.


Selamat mencuba!




Tuesday, 13 May 2014


Teringat lagi ketika saya sedang bergelar mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, UPM. Mungkin anda juga boleh relate kisah saya dengan kisah anda ketika bergelar pelajar dulu. Ketika itu, saya sering saja mengikuti aktiviti kebudayaan, persatuan, dan sukan jika ada kesempatan.

Penglibatan saya dalam pelbagai aktiviti sewaktu di universiti dahulu memang satu pengalaman yang menyeronokkan. Namun, ada ketikanya aktiviti yang dijalankan selesai pukul 12 tengah malam dan kadangkala hingga pukul 2 pagi. Saya selalu saja terlepas makan malam dan akhirnya mee segera sajalah yang jadi pengalas perut.

KISAH MEE SEGERA

Bercerita tentang mee segera, pelbagai jenama yang saya telah cuba. Masuk saja duit awal bulan, benda pertama yang mesti dibeli adalah mee segera. Beli terus stok untuk sebulan.

Sebenarnya bukan sahaja aktiviti persatuan saja yang sering menyebabkan saya skip makan malam, tapi ada juga waktu-waktu lain yang mana kita perlukan mee segera sebagai 'penyelamat'.

Sebagai contoh bila ada kelas malam yang selalunya habis pukul 10 malam. Tak ramai pelajar yang ada motor. Terpaksalah tunggu bas yang terakhir terus ke kolej sebab malas nak 'menapak' ke food court. Sampai di bilik, terus ambil air panas. Buka mee segera dan letak dalam air panas. Tambah perisa dan tunggu 5 minit. Makan.

DIET TAK SIHAT

Satu lagi masalah biasa bagi pelajar adalah suka buat assignment last minute. Bila dekat dateline barulah kita bersungguh-sungguh nak siapkan.

Setuju tak?

Nak tak nak, kena 'berkurung' dalam bilik untuk siapkan assignment tersebut.Terpaksalah mee segera menjadi peneman setia sebab kita tak nak buang masa nak menapak lagi ke 'food court' untuk beli makanan.

Selain itu, bilamana duit PTPTN tak masuk lagi. Selalu saja bajet lari. Terpaksalah survive dengan mee segera. Bila difikir balik, sebenarnya tak berapa elok jika kita kerap makan mee segera kerana mempunyai kandungan MSG yang tinggi. Kandungan proteinnya pula rendah. Memang tidak digalakkan dalam diet anda. Tapi kalau dah lapar, apa pun kita akan makan. Janji boleh kenyang. Betul tak?

MUDAH, MURAH DAN MENGENYANGKAN

Namun, saya ada sedikit tips sewaktu saya belajar dahulu. Saya suka tambah sedikit Serunding Ikan Bilis NIKMAT dalam hidangan mee segera. Dapat juga sumber protein tambahan di samping dapat meningkatkan rasa. Tapi waktu itu, jenama NIKMAT belum lagi wujud. Hanya serundingnya saja. Mungkin selepas ini, pada anda yang ingin makan mee segera bolehlah cuba tips ini dan rasailah kenikmatannya.

Ada juga ketikanya, saya makan roti atau nasi kosong bersama serunding ikan bilis. Mudah, murah dan mengenyangkan. Walaupun, tidaklah semewah makanan di food court ataupun kedai mamak, namun sekurangnya kita dapat mengalas perut. Yang penting, kita dapat mengelakkan dari terlalu banyak pengambilan MSG kerana Serunding Ikan Bilis NIKMAT bebas dari MSG.



Akhir kata, zaman pelajar memang sangat menyeronokkan kerana dapat menimba pelbagai pengalaman dan pengajaran secara formal mahu pun tidak formal. Bagi saya ilmu di luar bilik kuliah juga penting untuk kita gunakan bila kita masuk ke alam pekerjaan ataupun perniagaan. Oleh itu, pelbagaikan aktiviti dan penglibatan kita supaya boleh meluaskan pandangan serta pemikiran serta jangan lupa amalkan tips di atas.

Selamat mencuba. 




Monday, 12 May 2014


Sesi pengenalan ringkas oleh Tuan Zaidi Hassan dan pasangan beliau, Puan Maza Asma dalam program Tatih Jutawan lepas sedikit sebanyak telah memberikan inspirasi dan semangat kepada saya. Walaupun hanya berucap dalam waktu yang singkat; sekadar memperkenalkan diri. Namun, beliau telah ‘bongkarkan’ satu rahsia kejayaan beliau dalam Shugarholic Confectionery.

Tiruvasi.

Ya. Kita harus menjadi pakar tiruvasi untuk berjaya!


TIRUVASI = TIRU + INOVASI

Tiruvasi adalah gabungan tiru dan inovasi. Untuk berjaya dalam apa jua bidang, kita tidak boleh lari dari kesilapan dan kegagalan sama ada kecil ataupun besar. Namun, kita boleh mengurangkan kesilapan kita dengan meniru tindakan orang yang telah berjaya.

Kenapa mereka berjaya? Kerana mereka telah menemukan cara yang betul setelah melanggar banyak ‘dinding kegagalan’. Oleh itu, kita harus tiru cara yang betul tersebut dan sebolehnya elak ‘dinding-dinding kegagalan’ yang boleh melambatkan kejayaan kita.

Dalam konteks perniagaan pula, tiruvasi yang bagus adalah bila kita dapat menambah baik produk atau perkhidmatan kita dengan berpandukan perniagaan yang telah berjaya. Jangan mengambil copyrighted material bulat-bulat, sebaliknya ambil idea yang bagus sahaja dan aplikasikan dalam perniagaan anda.

Mungkin kita boleh mula meniruvasi tiga elemen ini dahulu.

3 TIPS UNTUK TIRUVASI

1. Strategi Pemasaran

Lihat dan perhatikan produk-produk popular yang menjadi trend di sekeliling anda. Apakah strategi pemasaran yang digunakan untuk memasarkan produk tersebut? Bagaimana mereka approach masyarakat untuk mengenali dan mencintai produk mereka?

Anda lihat pula kepada produk anda. Adakah sesuai pendekatan tersebut dengan produk anda. Apa yang perlu anda buat adalah tiru strategi tersebut dan inovasikannya supaya produk atau perkhidmatan anda lebih baik. Kebanyakan pelanggan tidak akan menukar sesuatu produk melainkan mereka ada sebab yang kuat seperti harga atau kualiti. Dengan melakukan sedikit tiruvasi, anda boleh pegang pasaran.

2. Sistem

Setiap perniagaan yang berjaya ada sistemnya yang tersendiri. Bagaimana pula dengan sistem perniagaan anda?

Jika anda belum ada sistem yang mapan, ini masanya untuk anda tiruvasi sistem yang telah terbukti berjaya dan implemenkan ke dalam perniagaan anda. Pastikan anda meniru secara spesifik program atau sistem perniagaan yang telah terbukti berkesan. Anda juga boleh bertanya pada mentor anda tentang sistem yang telah mereka gunakan dari aspek pengurusan bisnes, pemasaran, perakaunan, penjenamaan, ataupun sistem secara keseluruhannya. Mentor anda juga orang yang yang berjaya, jadi tak salah untuk anda meniru mereka.

3. Personaliti

Pilih seorang yang berjaya dan tiruvasi personaliti mereka. Bagaimana cara mereka berpakaian, berjalan, bercakap, dan sebagainya. Berlagak seperti mereka. Namun, anda tidak perlu meniru personaliti mereka secara total. Wujudkan juga identiti anda yang tersendiri.

Usahawan yang berjaya juga mempunya beberapa sikap yang hampir sama. Mari kita lihat beberapa sikap tersebut.
  • Menetapkan matlamat yang jelas.
  • Yakin dan bertanggungjawab dalam tindakan yang diambil.
  • Berfikir di luar kotak.
  • Berani untuk mengambil keputusan.
  • Bertanya kepada mereka yang telah berjaya dalam line of business yang sama. .


SIAPA MODEL ANDA?

Semoga sedikit perkongsian saya ini dapat membantu anda untuk meniruvasi kejayaan orang lain. Jadikan kejayaan mereka sebagai inspirasi untuk kita teruskan perjuangan. Orang yang telah berjaya adalah model yang paling sesuai untuk ditiru.


Oleh itu, tiru sahaja apa yang mereka lakukan.Orang berjaya tidak akan buat kerja yang gagal kerana mereka telah berjaya melakukan kejayaan itu. 




Sunday, 11 May 2014


Hai dan salam sejahtera. 

Berbicara mengenai topik hari ni, “Kenal dulu, baru cinta”.  Wah..gaya dah macam nak jiwang karat fantasia cinta teragung je kan. 

Ok, nak tanya. Berapa ramai yang bercinta tanpa kenal dulu?

Bercinta terus tanpa tahu latar belakang, at least tahu nama dulu. Atau at least tahu dia bujang ke dah kahwin kan? Takkan la main hentam saja nak bercinta or kahwin pun. Hihi. Kenal itu penting. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”. Yang ni percintaan sesama manusia. Lelaki perempuan. 

Tapi konsep sama juga diguna pakai dalam membeli barang atau perkhidmatan. Laaa...yela. Takkan beli barang dan perkhidmatan sebab terpaksa (walaupun ada beberapa yang memang terpaksa rela beli), kita beli barang dan perkhidmatan sebab kita suka dan jatuh cinta padanya. 

Yang korang tangkap lentok feeling ni biasanya barangan dan perkhidmatan jangka masa panjang la macam gadget, motosikal, kereta, dan sebagainya. 


Sampai namakan barang tu Nelydia Senrose la, Mia la, Ersalina la. 

Dalam hati ada taman jugak rupanya. Hihi~

Mungkin dalam membeli barangan dan perkhidmatan yang melibatkan nilai ringgit yang tinggi ni korang semua berfikir panjang jugak nak kenal benda ni semua. Bagus, thumbs up! Tapi bagi barangan dan perkhidmatan yang kecil serta murah macam makanan, peralatan dapur, dan sebagainya korang semua ambil mudah sahaja. 

Jangan lupa, hakikatnya dan sepatutnya daripada barangan dan perkhidmatan yang kecil inilah korang semua patut belajar nak kenal agar mencapai kepuasan yang diinginkan dalam penggunaan korang. Barulah rasa puas dan berbaloi-baloi dalam menjalani kehidupan sebagai pengguna.

Pengguna? Siapa pengguna? Pengguna adalah kita. Dan kita adalah pengguna. 

Pengguna ada 8 hak dalam pasaran. Tapi aku pasti. Majoriti kita semua hanya tahu satu hak je. Iaitu HAK UNTUK MENDAPATKAN GANTI RUGI. Dan aku bukan nak tulis entri ni nak bagi korang satu buku nota kuliah tentang pengguna. Haha~:D 

Selain dari hak yang korang tahu ni, ada 7 hak lagi. Dan salah satunya adalah HAK UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT. Itulah yang aku cuba nak sampaikan apabila korang patut kenal dulu, baru cinta barangan dan perkhidmatan dalam pasaran.

Aku bagi korang satu situasi. Paling mudah. Beli ikan sardin dalam tin.

“Woww! Nampak sedap pulak ikan sardin King Cup ni. Masak dengan bawang besar banyak-banyak makan dengan nasi yang masih panas. Sedap gile weyh!!”

Kemudian capai tin sardin tu masuk dalam bakul, dan bayar. Sampai je kat rumah, baru perasan tarikh luput (dah expired), tin kemek. Barulah menggelabah pergi buat report dan sebagainya. 

Haa...ni namanya cinta itu buta dan membuta tuli. Bayangkan lagi situasi lagi kalau korang beli kereta atau rumah. Kalau tak kenal dulu apa akan jadi? Jangan risau nak bertanyakan soalan kalau tak faham dan tak tahu. Tanya je. Ingat, HAK UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT. Tak dapat maklumat yang kita nak, tanya pak cik Google. Siasat dulu latar belakang barangan dan perkhidmatan yang kita nak, kemudian baru fikir langkah seterusnya. 


Apa? Buang masa? Takpe buang masa sekarang, daripada buang masa dan buat duit nak buat report, saman dan sebagainya kalau dah kena tipu nanti. Jangan sampai dah terhantuk baru tergadah. Jumpa peniaga tak jujur kang, mau menangis sebulan dibuatnya. Menangis takpe lagi. Kalau sakit? Haa..

Kisah-kisah tak nak kenal dari dulu lagi dah banyak terjadi. Sebab tak kenal lah ramai terjerumus dengan Gores dan Menang, Skim Cepat Kaya, MLM dan mati sebab keracunan makanan. Jangan menyumbang kepada yang banyak tu. Tak tahu tanya. Kalau tak bertanya, sesat jalan.

Selamat berkenalan dengan barangan dan perkhidmatan kegemaran anda.

Semoga berbahagia ^^,



*Nota kaki (pada label makanan):
BEST BEFORE-Masih boleh guna selepas tarikh yang dinyatakan tapi kualiti tidak sebaik sebelum tarikh.

USE BY-Tidak boleh digunakan selepas tarikh yang dinyatakan. Rosak. (Effect kepada kesihatan).



Friday, 9 May 2014


Anda suka makan popiah mini?

Pasti anda terbayangkan rasanya yang rangup dan enak. Namun, bagaimana jika anda menghadapai kesukaran untuk mendapatkannya? Terutamanya di luar musim perayaan.
Untuk itu, saya akan berkongsi pada anda tutorial ringkas beserta video untuk mendapatkan popiah mini yang terbaik.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :

  1. Serunding Ikan Bilis NIKMAT (wajib)
  2. kulit popiah
  3. sedikit air, dan
  4. minyak





PROSES PENYEDIAAN POPIAH MINI MENTAH

Cara-caranya adalah :

  1. Potong kulit popiah mengikut ukuran yang sesuai iaitu potongan segi empat sama.
  2. Sediakan kulit popiah.
  3. Letakkan Serunding Ikan Bilis NIKMAT ke atas kulit popiah yang telah disediakan tadi. Secubit ataupun sepertiga sudu kecil sudah memadai.
  4. Buat gulungan kemas.
  5. Lekatkan hujung kulit popiah tadi dengan menggunakan sedikit air sebagai pelekat.
  6. Kini, popiah anda sudah sedia untuk digoreng.


PROSES MENGGORENG

Untuk menggoreng pula anda perlu :

  1. Panaskan minyak di dalam kuali terlebih dahulu. Pastikan api tidak terlalu besar kerana popiah mini cepat masak dan akan hitam jika api terlebih panas.
  2. Setelah anda pastikan minyak sudah panas, masukkan popiah mini mentah tadi.
  3. Kacau-kacau sedikit popiah mini dengan sudip. (Tunggu dalam masa lebih kurang 20 saat.)
  4. Popiah mini anda sudah masak jika warnanya bertukar kuning keemasan.
  5. Angkat popiah mini tersebut dan keringkan minyak di atas kertas tisu dan sedia untuk dihidang.




TIPS

  1. Popiah mini mentah tahan lama jika disimpan dalam peti sejuk. Anda tidak perlu menggorengnya pada kadar yang segera.
  2. Jadi, anda boleh simpan dalam peti ais dan hanya menggorengnya bila perlu untuk memastikan anda mendapatkan rasa popiah mini yang lebih rangup.
  3. Untuk mengelakkan kulit popiah kering, tutup kulit popiah yang belum dibuka dengan kain lembap.
  4. Anda boleh simpan popia mini yang sudah digoreng dalam bekas dan boleh dibawa ke mana saja sama ada ketika dalam kereta, pejabat, bilik kuliah, dan juga semasa melepak.
  5. Anda boleh menjadi kreatif dengan menjadikannya sebagai doorgift. Jangan lupa kuih raya!
  6. Jika kulit popiah mini tidak melekat setelah diletak air, gantikan air tersebut dengan telur.

Selesai! Mudah bukan?

Setelah anda menguasai tutorial ini, anda juga boleh mencuba untuk membuat Simpul Kaseh pula. Selamat menikmati popiah mini anda yang sedap dan rangup. Jangan lupa untuk kongsikannya bersama keluarga dan rakan-rakan. Anda juga boleh kongsikan hasilnya di sini.


Selamat mencuba!





 Ada ketikanya anda ingin menjamah snek yang enak bukan?

Bukan kerana anda lapar, tapi sekadar ingin menjamah ataupun mengunyah sedikit snek ringan ketika bekerja. Saya ingin kongsikan tutorial ringkas beserta video untuk menghasilkan Simpul Kaseh yang hanya memerlukan bahan-bahan yang murah, mudah, ringkas dan pastinya sangat sedap.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :

  1. Serunding Ikan Bilis NIKMAT (wajib)
  2. kulit popiah, dan
  3. minyak



PROSES PENYEDIAAN SIMPUL KASEH MENTAH

Cara-caranya adalah :

  1. Potong kulit popiah mengikut ukuran yang sesuai iaitu potongan memanjang.
  2. Sediakan kulit popiah.
  3. Letakkan Serunding Ikan Bilis NIKMAT ke atas kulit popiah yang telah disediakan tadi. Secubit ataupun sepertiga sudu kecil sudah memadai.
  4. Gulungkan dan buat ikatan simpul.
  5. Kini, popiah anda sudah sedia untuk digoreng.

PROSES MENGGORENG

Untuk menggoreng pula anda perlu :

  1. Panaskan minyak di dalam kuali terlebih dahulu. Pastikan api tidak terlalu besar kerana Simpul Kaseh cepat masak dan akan hitam jika api terlebih panas.
  2. Setelah anda pastikan minyak sudah panas, masukkan Simpul Kaseh mentah tadi.
  3. Kacau-kacau sedikit Simpul Kaseh dengan sudip. (Tunggu dalam masa lebih kurang 20 saat.)
  4. Simpul Kaseh anda sudah masak jika warnanya bertukar kuning keemasan.
  5. Angkat Simpul Kaseh tersebut dan keringkan minyak di atas kertas tisu dan sedia untuk dihidang.
Anda juga boleh menonton video tutorial cara mudah untuk membuat Simpul Kaseh.



TIPS

  1. Simpul Kaseh mentah tahan lama jika disimpan dalam peti sejuk. Anda tidak perlu menggorengnya pada kadar yang segera.
  2. Jadi, anda boleh simpan dalam peti ais dan hanya menggorengnya bila perlu untuk memastikan anda mendapatkan rasa Simpul Kaseh yang lebih rangup.
  3. Untuk mengelakkan kulit popiah kering, tutup kulit popiah yang belum dibuka dengan kain lembap.
  4. Anda boleh simpan Simpul Kaseh yang sudah digoreng dalam bekas dan boleh dibawa ke mana saja sama ada ketika dalam kereta, pejabat, bilik kuliah, dan juga semasa melepak.
  5. Jika anda kreatif ia juga boleh dijadikaan sebagai doorgift. Jangan lupa kuih raya!


Kini, anda boleh menikmati Simpul Kaseh yang berintikan Serunding Ikan Bilis NIKMAT yang sangat sedap ini. Cubalah di rumah dan kongsikan hasilnya di sini. Anda juga boleh melihat tutorial untuk Popiah Mini.

Selamat mencuba!



Monday, 5 May 2014


Petang tadi saya terima pesanan ringkas dari seseorang yang baru saja saya kenal dalam Program Tatih Jutawan. Katanya malam ini ada program ringkas tentang bisnes. Mungkin ingin berkongsi lebih lanjut tentang Kelab Keusahawan Selangor (KUSel) yang sebelum ini pernah dikongsikannya. Saya pun merasakan harus untuk bertemunya kerana saya merasakan rugi untuk tidak bersama dalam komuniti KUSel. Melalui perkongsian ringkasnya kepada saya sebelum ini, memang banyak kelebihannya kepada usahawan sekiranya terlibat dalam aktiviti KUSel ini.

NETWORK MARKETING?

Namun, saya sedikit terkejut bila dalam pesanan ringkasnya lewat Whatsapp yang bertanyakan adakah saya ada pengalaman dalam networking. Saya mula berasa ada yang tidak kena. Biasanya kalau disebut networking dalam bisnes, saya akan terbayangkan network marketing ataupun cukup dikenali sebagai multi-level marketing. Bukan saya negatif terhadap industri ini yang mana saya sendiri akui ianya sangat bagus jika dilaksanakan dengan cara yang betul. Tapi, saya belum bersedia buat masa ini untuk kembali aktif dalam network marketing


Tambahan pula, saya perlu fokus kepada produk Serunding Ikan Bilis NIKMAT yang baru saja saya lancarkan.

Walaupun sedikit gusar, saya meyakinkan diri yang mungkin persoalan tersebut menjurus kepada konteks networking antara usahawan dan agensi-agensi keusahawanan yang berkaitan. Saya pun bersetuju untuk bertemunya di Pajam, Negeri Sembilan. Saya pergi bersama seorang kawan. Kami sampai di Pajam dalam pukul 9.30 malam. Sampai saja di sana, kami disambut oleh kakak tersebut dan suaminya.

TELAHANKU TEPAT

Setelah dipersilakan duduk dan dijamu air kopi. Kami diperkenalkan kepada Cikgu Azman lalu diberi penerangan tentang perniagaan yang beliau ibaratkan sebagai ‘mesin duit’. Saya mula berasa bersalah kepada kawan di sebelah  yang kelihatan tidak selesa. Namun, kami tetap memberikan respon dan reaksi yang positif untuk menjaga hati tuan rumah yang begitu tekun membentangkan pelan pemasaran.

Kami difahamkan Cikgu Azman adalah seorang yang cukup dikenali dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri network marketing. Kami juga dikhabarkan bahawa beliau juga merupakan salah seorang pengasas kepada syarikat tersebut yang baru berusia 15 hari. Beliau meyakinkan kami untuk bersama menjadi pioneer ataupun yang terawal dalam syarikat tersebut.

Sesi pembentangan diteruskan.

Kami pun diperkenalkan dengan pelbagai jenis bonus dan potensi pendapatan yang bakal diperolehi dalam syarikat tersebut. 

Dalam keghairahan beliau bercerita, sempat juga saya jeling jam di handphone yang sudah menunjukkan jam 11.30 malam. 

Lantas saya memotong percakapan beliau secara baik dan menyatakan hasrat untuk pulang kerana sudah hampir lewat malam. 

Beliau faham dan menghabiskan penggulungan beliau dan memberikan kami borang pendaftaran untuk dibawa balik sekiranya kami sedia untuk bersama beliau dalam syarikat tersebut.

TEKNIK MENCULIK

Teringat kembali ketika saya masih aktif dalam network marketing yang mana saya pun pernah mengajar kumpulan saya menggunakan cara yang sama untuk menjemput prospek. Kami memanggil cara ini sebagai ‘teknik menculik prospek’. Namun, setelah mengetahui keburukan teknik ini, kami sepakat untuk tidak menggunakannya lagi dan bersikap untuk menghormati waktu dan perasaan orang lain. Satu kenangan yang sedikit sebanyak mematangkan saya.

Ada juga positifnya pertemuan saya bersama Cikgu Azmi pada malam ini. Saya dapat refresh teknik tabletalk ataupun prospecting dari seorang networker yang sudah bergelar jutawan dalam beberapa syarikat network marketing dan kini beliau pula merupakan pengasas bagi sebuah syarikat network marketing itu sendiri. Sebenarnya, jika dilihat dari aspek yang lebih luas, skil dan ilmu prospecting ini juga boleh diimplemenkan dan konteks perniagaan konvensional. Kita perlu gunakan pendekatan yang berbeza bergantung pada situasi, namun asas-asas prospecting harus ada.


Sebelum pulang, sempat juga saya berkongsi kepada mereka tentang keenakan Serunding Ikan Bilis NIKMAT dan kuih Simpul Kaseh yang berintikan Serunding Ikan Bilis NIKMAT.





Thursday, 1 May 2014

 

Kita sering mengimpikan untuk menjadi pemenang dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Dalam konteks perniagaan ataupun keusahawanan, pemenang adalah mereka yang mengetuai landskap pasaran. Mereka sentiasa berada beberapa langkah ke hadapan dari pesaing mereka.


KITA YANG BARU SAJA BERTAPAK

Namun, bagaimana pula dengan kita yang baru saja bertapak?

Kita terpaksa bersaing dengan perusahaan yang sudah dikenali dalam industri. Perusahaan yang sudah ada kredibiliti yang tinggi dan sudah tentunya cukup disegani. Apa yang boleh kita lakukan untuk menyaingi kredibiliti mereka?

Sama ada kita boleh melangkah setapak demi setapak untuk menjadi seperti mereka tapi mengambil masa yang lama untuk kita membina nama dan kepercayaan dalam pasaran. Atau, kita juga boleh berlagak seolah-olah kita sudah berada di tahap yang sama seperti mereka.


BERLAGAK SEPERTI MEREKA

Bagaimana untuk berlagak seperti mereka?

1. Tiru pemakaian pemenang

Ini adalah perkara mudah yang ramai terlepas pandang. Sebagai contoh, kita boleh berpakaian formal dengan imej korporat seperti kemeja, tali leher, dan kot. Jika anda berpakaian kemas dan menarik, secara automatik keyakinan anda akan meningkat.

“When you look good, you feel good.”

Namun, kita tidak perlu sentiasa berpakaian formal. Kita juga boleh membawa imej yang lebih santai tetapi kemas. Perlu pandai untuk sesuaikan dengan acara dan keadaan.


2. Sentiasa menonjol

Orang yang berjaya mempunyai aura yang kuat. Jika mereka hadir dalam suatu acara, semua mata akan memandang. Kita juga boleh menonjolkan diri kita walaupun tidak memiliki aura seperti seorang jutawan. Kita boleh menonjolkan diri kita melalui gaya percakapan yang meyakinkan.  

Bagaimana caranya?

3. Belajar bercakap seperti mereka

Anda boleh perhatikan bagaimana Dr. Azizan Osman berucap.

Dalam hanya beberapa saat sahaja, beliau boleh menyentuh emosi kita. Bayangkan pula bagaimana beliau 'memukau' ribuan manusia yang hadir dalam setiap program yang beliau anjurkan. 

Itu adalah kekuatan beliau yang perlu kita 'tiru' dan kuasai.


4. Miliki keyakinan sebagai seorang pemenang

Keyakinan adalah perkara yang paling sukar untuk dikawal kerana ianya berkait rapat dengan mentaliti kita. Jika kita boleh menanamkan dalam minda separa sedar bahawa kita seorang pemenang, tahap keyakinan kita akan meningkat.

Oleh itu, kita perlu bijak untuk ‘menipu’ minda kita.

5. Berkawan dengan pemenang

Berkawan dengan penjual minyak wangi, anda akan wangi. Begitulah juga bila kita berkawan dengan orang yang berjaya. Kita akan dapat kejayaan.




Imej yang kita pamerkan harus mempunyai impak seperti seorang pemenang kerana ramai yang menilai potensi kita dengan hanya first impression mereka. Oleh itu, kita perlu berlagak sebagai pemenang walaupun kita belum lagi berjaya.


Namun, kita perlu bijak untuk membezakan antara ‘berlagak sebagai pemenang’ dan 'berlagak betul'!