Tuesday 18 March 2014


HIDUP TANPA AIR

Sudah sebulan lebih masalah air melanda kampung. Adakah ujian ini membuatkan kita lebih berfikir ataupun sekadar sibuk menyalahkan orang lain? Mungkin di saat kita sibuk mengeluh, ada pihak-pihak yang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah ini  dan ada juga individu-individu yang sudah mula memikirkan alternatif untuk mengurangkan masalah ini.

Krisis air yang panjang ini mengingatkan saya pada sebuah rancangan yang disiarkan oleh KBS World bertajuk Real Experience Project : The Human Condition. Rancangan ini adalah sebuah pilot program yang menampilkan pelbagai kisah yang terpaksa dilalui oleh enam orang komedian apabila mereka terpaksa menjalani kehidupan seharian tanpa keperluan asas.


20 LITER SEHARI?!

Kesemua mereka akan ditempatkan di sebuah rumah selama tujuh hari tanpa keperluan asas tertentu seperti telefon bimbit, internet dan elektrik. Perkara-perkara ini sangat penting dalam kehidupan moden ketika ini. Bagi episod ini, misi mereka adalah untuk hidup tanpa air selama seminggu.

Segala pengalaman mereka akan dikongsikan dalam rancangan ini terutamanya tentang perubahan gaya hidup yang mendadak dan sikap mereka bila mana nikmat air ‘ditarik’ seketika.

Mereka diberi 20 liter air sehari dan harus melakukan aktiviti harian dengan jumlah tersebut. Bayangkan anda perlu mandi, basuh baju, memasak, dan sebagainya dengan hanya 20 liter air! Anda harus menonton rancangan tersebut untuk mendapat idea tentang survival mereka dalam keadaan tersebut selama seminggu. Anda boleh aplikasikan teknik mereka dalam kehidupan seharian. Berbaloi untuk ditonton.


3 LANGKAH PENJIMATAN AIR

Anda juga boleh melakukan penjimatan anda sendiri. Di sini saya kongsikan beberapa langkah mudah yang boleh kita amalkan untuk menjimatkan air. Segalanya bermula dari diri anda sendiri.


1. Tandas

Gunakan tandas yang mempunyai keupayan flushing atau curahan yang rendah (6 liter atau kurang). Ataupun ada boleh letak sebotol air ke dalam tangki curahan untuk mengurangkan air yang dicurah. Seeloknya, kurangkan flushing dalam sehari.

Kurangkan ‘berasap’ ketika di dalam tandas.

Sekali-sekala, letakkan pewarna ke dalam tangki curahan. Periksa kebocoran dengan melihat jika terdapat air berwarna yang meleleh keluar selepas anda flush.

2. Bilik Mandi

Kurangkan masa mandian dan tutup pancuran ketika bersabun. Seeloknya gunakan sabun organik kerana buihnya kurang dan mudah untuk dibilas.

Jangan biarkan air mengalir ketika sedang memberus gigi. Penting.

3. Dapur

Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk sebaliknya gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki.  Cuci sayuran, buah-buahan dan makanan di dalam sinki atau bekas yang berisi air untuk elakkan air mengalir.

Air dari basuhan sayuran atau beras boleh digunakan untuk menyiram tanaman di sekitar rumah.

Selain itu, pastikan mesin basuh penuh muatan cucian kerana setiap cucian akan menggunakan jumlah air yang sama walaupun pakaian yang dibasuh hanya sedikit sahaja.


SISTEM PENGUMPULAN HUJAN

Anda juga boleh mengurangkan bil air dengan mengumpul air hujan bagi kegunaan luar seperti untuk menyiram tanaman dan membasuh kereta. Bermacam cara dan teknik yang disediakan untuk kita menghasilkan mekanisme yang dapat mengumpul air hujan untuk kegunaan domestik.

Sistem pengumpulan air hujan yang dipasang di rumah memang sangat membantu. Sebagai contoh, anda boleh lihat di sini untuk mengetahui cara mudah membina sistem pengumpulan air hujan yang boleh diaplikasikan di rumah anda.

Selamat mencuba!

2 comments:

  1. Tak dapat bayangkan kalau hidup tanpa air dalam masa yang lama. Hmmm

    Ikhlas,
    profhariz.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Peringkat awal memang susah. Terpaksa seharian berpanas menunggu lori air di tepi jalan. Tapi, semenjak minggu lepas, kerajaan negeri sudah membuat catuan air selang 2 hari.

      Alhamdulillah, walaupun bukan setiap hari ada air tapi tidaklah lagi perlu berpanas menunggu lori air.

      Delete