Tuesday 18 March 2014


MEMAYU HAYUNING BAWANA, AMBRASTA DUR HANGKARA

Seharusnya setiap manusia berusaha ke arah kesejahteraan seiring dengan usaha untuk membanteras segala ketamakan dan kerakusan. Suka saya mengupas falsafah jawa ini melalui konteks kita sebagai rakyat Malaysia supaya kita lebih terkesan. Semoga ktia dapat pencerahan dan pengajaran.

NEGARA YANG AMAN

Kita sedia maklum bahawa Malaysia dikenali sebagai Negara yang aman dan hampir bebas dari bencana alam. Jika dilihat dari aspek geografi, Malaysia bukan sebuah negara yang bergunung-ganang seperti Kaukasus Utara dan Tajikistan dengan penduduk tiada pilihan melainkan terpaksa tinggal di kawasan pergunungan yang berisiko tanah runtuh. Negara kita juga jauh dari lingkaran api pasifik yang mana kerak buminya pecah dan bergeser menyebabkan risiko untuk berlakunya gempa bumi sangat tinggi.

Tambahan pula, Malaysia dikurnia dengan pelbagai hasil bumi yang menjadi rebutan negara-negara luar. Beruntung kita dilahirkan dan tinggal di Malayia. Namun, kita lupa tugas kita sebagai tuan di tanah bertuah ini kerana terlalu rakus mengejar pembangunan dunia dan memuja sistem kapitalis ciptaan Barat.


BENCANA ALAM

Dewasa ini, banyak bencana yang melanda negara kita. Mungkin ujian untuk menilai kebergantungan kita kepada Tuhan pencipta alam. Ataupun hukuman sebagai peringatan untuk kita sedar. Setelah melalui beberapa siri tragedi tanah runtuh, kita dikejutkan pula dengan banjir besar di beberapa daerah hingga memaksa banyak pihak untuk turun menghulurkan bantauan.

Selepas itu, kita terpaksa mengharungi musim kemarau yang agak panjang disertai dengan asap jerebu yang semakin menyesakkan. Perubahan yang mendadak ini bagaikan memukul kita dengan pelbagai pertanyaan. Apa sebenarnya yang berlaku dan di mana silapnya?

MENGHALANG KERAKUSAN

Kita lupa bahawa terlalu banyak kemusnahan yang telah kita lakukan terutamanya pada alam. Mungkin inilah caranya alam mengingatkan kita tentang kesederhanaan. Mungkin jgua inilah waktunya untuk kita belajar mengawal nafsu serakah, ketamakan, dan kerakusan kita dalam mencarik isi dunia demi kepentingan sendiri.

Terlalu banyak yang tertindas sebenarnya.

Cuba kita pandang dari sudut ekonomi. Kita akan lihat bagaimana sistem ekonomi kapitalis liar ciplakan Barat ini mencengkam rakyat. Kita dijerat dengan dominasi korporat swasta yang mana kuasanya menzalimi. Tanpa sedar sebenarnya kita menyokong kezaliman tersebut lalu kita turut sama terhukum. Buktinya cukup banyak yang mana akhirnya mewujudkan jurang ekonomi yang terlalu jauh.


Kita seharusnya berusaha ke arah keselamatan, kesejahteraan dan keamanan. Kita juga harus memerangi kepincangan yang berlaku sekian lama, Tidak perlu menjadi Jebat yang derhaka menuntut bela. Cukup dengan kesedaran dan perubahan yang walaupun kecil tapi berterusan. Mungkin perubahan inilah yang akan mencetus keharmonian ummah.

0 comments:

Post a Comment