Saturday 22 March 2014



Sejujurnya saya sebelum ini agak asing dengan majlis zikir dan selawat. Hanya mendengar cerita dari kawan-kawan yang bersama tarekat. Seronok kata mereka. Saya sekadar membayangkan apakah rasanya berada dalam majlis membesarkan Allah dan Rasul-Nya. Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bila kita sudah rasa getarnya hati semasa berada dalam majlis ini, maka kita akan faham mengapa banyak jiwa-jiwa yang sentiasa merindukan Allah dan Rasul.

Secara ringkasnya, Selawat Perdana yang diadakan semalam merupakan kali kedua saya berada dalam majlis  maulud seperti ini. Ia juga rentetan dari malam cinta rasul yang diadakan di Masjid Besi, Putrajaya dua minggu sebelum Selawat Perdana ini. Cuma kali ini, liputannya lebih meluas dan saya melihat lautan manusia yang turut sama bermaulid pada malam ini.

Saya dan Faiz bergerak tiba di kawasan masjid dalam pukul enam petang dan kami terpaksa meletakkan kereta di belakang bangunan kastam Putrajaya kerana jalan untuk ke masjid tersebut ditutup. Kehadiran kami disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu dan kami diberikan sebotol air mineral 500ml, sekeping sejadah, senaskah Yaasin, dan senaskah bacaan selawat.

Sepanjang perjalanan kami ke arah masjid yang jaraknya hampir 500meter, kami melihat kanan dan kiri ada gerai-gerai menjual makanan, pakaian, dan sebagainya. Sebelum masuk ke perkarangan masjid untuk bersiap-siap untuk solat maghrib, kami bergambar berlatarbelakangkan masjid Putrajaya. Sempat juga kami berlagak seperti pelancong luar. Kononnya supaya orang disekitar tidak pelik melihat lagak  kami yang seolah-olah pertama kali sampai ke sini.

Majlis alunan selawat dan qasidah bermula selepas solat Isyak yang mana kami dibimbing oleh Habib Syeich Bin Abdul Qodir Assegaf. Antara qasidah yang kami alunkan adalah Ya Hanana, Madad, Padang Bulan dan sebagainya. Meremang juga bulu roma bila satu himpunan manusia bersatu dalam mengalunkan selawat kepada Rasul. Perasaannya sukar di gambarkan dan anda hanya akan tahu bila turut sama dalam majlis ini.

Malam ini juga kami sama-sama menadah tangan memohon keampunan dan keselamatan terutamanya pada penumpang dan anak kapal MH370. Semoga mereka selamat dan misteri MH370 ini dapat dirungkaikan dengan segera.

Saya juga agak tersentak semasa bacaan doa oleh Habib Syeich yang mana beliau memohon supaya Malaysia sentiasa dalam keselamatan dan dihindarkan dari fitnah.

Beliau mengulang-ngulang doa tersebut dengan penuh pengharapan bagaikan ada suatu benda berat yang akan berlaku di Tanah Melayu ini. Mungkin itu cuma fikiran liar saya sahaja dan harap-harap kita sentiasa berada dalam keadaan yang aman. Apa yang boleh saya kata, majlis malam ini berjalan dengan lancar dan berakhir pun dengan lancar.

Jika ditanya pendapat dan komen saya, tentu saja saya akan kata ianya sangat bagus dan berharap majlis seperti ini perlu diadakan lagi.

10 comments:

  1. salam singgah. saya pun dapat rasa getarnya. walaupun menonton di TV Al-Hijrah sahaja tetapi jwa dan perasaan ni seolah-olah ada kat Putrajaya. masyaAllah. indah sungguh majlis membesarkan Allah dan Nabi Muhammad SAW

    ReplyDelete
  2. indah..., terima kasih singgah blog saya

    ReplyDelete
  3. Satu usaha yang baik :)

    Ikhlas,
    profhariz.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu bro. Semoga penganjur program ini sentiasa diberkati.

      Delete
  4. bertuah siapa yang dapat pergi. ;)

    ReplyDelete
  5. Tahniah!, pengalaman yang menarik tu...jom berselawat!.

    ReplyDelete