Wednesday 19 March 2014


KITA BUKANNYA GAGAL

"Kenapa saya susah untuk berjaya dan sering saja gagal?"

Saya masih ingat ketika itu saya masih aktif dalam network marketing. Kira-kira dalam tiga tahun lepas. Saya pernah menanyakan soalan ini kepada seorang mentor saya dalam bidang perniagaan. Kini beliau bergiat aktif dalam bidang motivasi di Melaka.

Saya datang kepada beliau dan bertanya di manakah kesilapan yang saya lakukan dan apa solusi kepada permasalahan tersebut. Kemudian, dengan tenang beliau menjawab,

“Kita semuanya bukannya tidak berjaya ataupun gagal, sebalknya kita hanya belum berjaya.”

Terkesima saya dengan jawapan ringkas beliau. Sebelum sempat saya mempersoalkan jawapan tersebut, terus saja beliau menyambung sambil tangannya mencapai sehelai tisu di atas meja (ketika itu kami di restoran) lalu memegang kemas pen yang memang sentiasa ada di dalam kocek baju beliau. Sedia untuk menulis sesuatu.

BULATAN KEJAYAAN

Dengan berhati-hati, beliau melakarkan sebuah bulatan ringkas yang agak herot namun cukup untuk menggambarkan bahawa itu adalah sebuah bulatan. Bulatan itu kemudiannya dilorekkan sedikit.

Beliau menyambung kembali ucapannya sambil hujung mata pena diletakkan di titik tengah bulatan itu,

“Kita anggapkan bulatan ini adalah usaha dan rintangan kita untuk berjaya. Manakala, ruang kosong di luar bulatan ini adalah kejayaan kita yang mana garisan bulatan ini adalah sempadannya.”

Saya mengangguk bisu untuk mengiyakan pernyataan beliau walaupun masih lagi kabur dengan maksud beliau.

“Kita andaikan segala usaha kita ke arah kejayaan umpama melakar garisan dari titik tengah bulatan ke ruang luar yang kosong itu. Mudah bukan. Tapi bayangkan jika kita berhenti di tengah-tengah ketika sedang melakar garisan ini. Adakah kita akan beroleh kejayaan?” Soal beliau penuh makna.

Saya pun menggeleng kepala sebagai tanda menjawab persoalan beliau. Beliau menambah lagi,

“Begitulah juga dengan kita sebagai manusia. Kita bukan seorang yang gagal tapi sebenarnya kita masih lagi dalam perjalanan untuk menuju kejayaan. Ada manusia yang garisannya sudah terlalu hampir untuk keluar ke ruang kejayaan tapi sayangnya dia berhenti di pertengahan jalan. Kuncinya di sini kita harus konsisten dalam usaha kita membina kejayaan”

NIKMAT KEJAYAAN



Tambah beliau lagi,

“Kita jangan cemburu dengan orang lain yang sudah berjaya hanya dengan sedikit usaha. Mungkin bulatan yang orang itu lalui lebih kecil dari bulatan kita. Tapi ingat, semakin besar bulatan yang kita lalui, semakin manis nikmat yang kita akan rasa bila kita berjaya nanti, dan untuk kita memulakan bulatan baru pun sudah tiada masalah kerana banyak ilmu yang kita kutip sepanjang melakar garisan di bulatan yang pertama itu.”

“Apa yang penting di sini, kita hanya perlu fokus dan konsisten untuk keluar dari bulatan pertama. Setelah itu kita akan lihat segalanya seolah menjadi lebih mudah.”

Petang itu saya pulang dengan satu persepsi  baru tentang kejayaan. Itulah pentingnya untuk berkawan dengan orang-orang yang positif kerana auranya sedikit sebanyak akan tertumpah ke kita. Kalau diberi kesempatan, saya ingin berjumpa kembali dengan beliau untuk menanyakan perkhabaran dan berborak panjang. 

8 comments:

  1. Terima kasih untuk perkongsian motivasi dan inspirasi ini.

    Ikhlas,
    profhariz.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat. InsyaAllah

      Delete
  2. Assalamualaikum Tuan afandi Othman, wah motivasi yang bagus sekali. Tahniah!
    Oh ya, salam ukhwah.

    ReplyDelete
  3. bagus motivasi ini..terima kasih kerana berkongsi dan teruskan memberi inspirasi. :)

    ReplyDelete
  4. sebab saya malas, haha xD satu perkongsian yang bagus ni bro, boleh jadi bahan renungan.. peace!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang malas ni susah nak buang. Saya pun malas nak buang perasaan malas ni. Hehe

      Delete