Wednesday 12 February 2014


URIP IKU URUP

Kita maklum bahawa kita hidup di dunia ini perlu saling memberi. Tapi, dewasa ini ramai yang memilih untuk berdiri sendiri. Hampir terlupa bahawa sebaik-baik kita adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

Urip iku urup (hidup itu nyala) menyiratkan hidup itu harusnya memberi manfaat bagi orang di sekitar kita. Tidak perlu dihitung manfaat diberi, hanya ikhlaskan dalam hati dan yakin kecil besar manfaat itu adalah urusan Tuhan. Kalau besar kebaikan yang kita dapat beri, kita telah membantu orang lain. Kalau kecil pun kebaikan yang dapat diberi, kita masih membantu orang lain.

Ada juga suara-suara liar yang mengatakan apa perlunya untuk membantu orang lain kerana jika kita susah belum tentu kita akan dibantu. Ada juga yang merasa bahawa mereka belum cukup berkemampuan untuk menolong orang lain.  Bagi saya, ianya berbalik semula tentang penafsiran kita terhadap kebaikan itu sendiri.

Ramai yang berpendapat kita harus membantu orang lain mengikut kemampuan. Itu saya setuju. Namun, ramai juga yang beralasan bahawa mereka belum cukup mampu. Kita sering lupa sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak. Semuanya bergantung kepada tabiat dan pilihan kita.

Sebagai contoh, kawan anda seorang perokok tegar dan dia merokok di tempat awam. Lalu, anda memilih untuk menegurnya supaya merokok di tempat lain ataupun seeloknya berhenti merokok sebentar kerana anda tidak tahan dengan asap rokok. Anda mungkin tidak sedar yang anda telah mengelakkan orang lain dari menjadi perokok sekunder.

Begitu juga jika ketika anda rasa untuk membuang sampah keluar dari tingkap kereta. Anda memilih untuk  menyimpannya dahulu kemudian buang sampah tersebut dalam tong sampah bila anda turun dari kereta. Anda sebenarnya telah membantu menjaga alam ini. Biarpun kecil perlakuan kita, namun yakinlah kita sebenarnya telah membantu banyak jiwa.

Jika kita tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain, kita seharusnya tidak memberi mudharat pada orang lain.

Manfaat yang kita berikan ibarat nyalaan api. Cahaya yang selalu menyala demi menyinari setiap derap langkah manusia.

Namun, ramai juga yang menjadi bara yang selalu membakar dan memusnahkan demi menidakkan usaha manusia lain.

Pilihan sentiasa ada di hati kita. Terpulang pada kita untuk menjadi cahaya atau bara.

0 comments:

Post a Comment