Monday 3 February 2014


Aku yang silap.

Aku menerka masa akan menyembuhkan segalanya. Mungkin ku rasakan itu yang terbaik buatku pada waktu itu. Waktu di mana aku diuji masalah hidup. Aku merasakan hidup ini hanya berkisar tentang diriku. Tanpa aku sedar, ada hati yang aku dah lukakan. Fikirku hanya akan bertemu kau bila aku dah berjaya keluar dari masalah ini. Supaya kau tak turut sama terpalit. Mungkin bagi kau masalah aku tidaklah besar. Namun aku percaya. Ujian itu walaupun sama pada pandangan kasar, tapi impaknya berbeza bagi siapa yang mengalami.

Aku yang silap.

Aku menerka bila aku senyap menghilang kau akan faham. Aku tak mahu kau melihat aku dalam keserabutan. Aku hanya ingin kau mengenang perkara yang indah bila melihatku. Bukan seorang lelaki lemah yang kalah. Lantas aku memilih perniagaan sebagai escapism.  Masakan aku sanggup tinggalkan pelajaran yang telah lama aku usahakan. Aku bukan pelajar yang bermasalah dalam akademik. Kau pun tahu.

Hanya aku yang perlu derita. Harapannya agar kau sentiasa ketawa. Aku sentiasa melihat perkembangan melalui tulisan-tulisan yang kau nukilkan di blog. Satu posting kau di penghujung 2012 sudah cukup meyakinkanku. Kau sudah bertemu penggantiku yang paling layak.

Aku tumpang gembira namun aku tidak mampu untuk menzahirkannya. Aku bukan seorang yang pandai menyusun ayat dan ekspresi. Cukuplah dengan tulisan ini yang akan ku zahirkan pada kau bila aku sudah cukup kuat. Aku ini hatinya keras. Beruntung kau tidak lagi bersamaku.

Aku senang melihat kau bahagia. Bagaikan satu beban berat diangkat dari pundakku. Sekurangya aku tahu satu hati telah kembali sembuh, walaupun aku sedar kaca yang pecah mustahil untuk dicantum kembali.

Biarlah lagu Lara Hati lantunan Katon Bagaskara yang menemaniku tika ini menjadi saksi bahawa aku telah merelakan.

"Engkau adalah yang terindah sepanjang hidupku.

Luka meruah,

semua telah berlalu."


Jangan pernah maafkan aku. Takut aku buat silap lagi.

0 comments:

Post a Comment