Wednesday 16 April 2014


Petang Sabtu, 5 April lepas. Saya bersama seorang rakan pergi ke Al-Jenderami untuk merasai pengalaman berada di majlis Haul Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani. Kami mengetahui tentang majlis ini pun melalui seorang kawan yang saya kenal dalam Persatuan Silat Burung Rajawali Putih dan Gerak Pukulan Sekilat Malaysia. Kami yang pertama kali berada dalam majlis sebegini berasa sedikit canggung. Macam rusa masuk kampung pun ada.

KEINDAHANNYA MEMUKAU

Mana taknya. Kawan saya yang belum pernah ke Al-Jenderami membayangkan tempatnya seperti sebuah surau. Sampai-sampai saja, tersergam megah sebuah kompleks yang didalamnya terdapat masjid yang bertembok tinggi dengan hiasannya yang sedikit lain dari masjid-masjid yang ada di sekitar Selangor. 

Saya pula 'sudah' kali kedua sampai ke sana. Jadi, saya yang ‘senior’ sikit terpaksalah buat-buat tahu selok-belok di sini. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya di sini iaitu ada beberapa buah kerusi roda automatik yang disediakan untuk memudahkan warga tua bergerak dari kawasan kediaman ke kawasan masjid. Sangat menarik.

Kami tiba di masjid Al-Jenderami dalam pukul 4.30 petang dan sempat sembahyang asar berjemaah. Usai solat asar, disambung pula dengan majlis tahlil. Sebelum masuk waktu maghrib, kami berjalan-jalan di sekitar masjid Al-Jenderami dan singgah melihat-lihat buku di kedai bersebelahan masjid dan hajatnya ingin membeli makanan di pasar kecil bersebelahannya. Tapi, sayangnya dompet kami dua-duanya ditinggalkan dalam kereta. Telan air liur sajalah nampaknya.

KAMI DITAHAN!

Majlis Haul bermula selepas solat maghrib yang dimulai dengan ceramah tentang sejarah hidup Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani dan teladan yang kita boleh ambil dari kisah hidup beliau. Di samping ceramah tersebut, diselitkan juga alunan qasidah dan selawat yang dipimpin oleh pelajar-pelajar di sini.

Selesai ceramah, kami solat isyak berjemaah. Kami pun bersiap-siap untuk pulang tapi belum sempat kami keluar dari perkarangan masjid, kami ditahan.

Kami diajak untuk makan kambing aqiqah. Apa lagi. Sesi 'melantak' pun bermula. Makanan disediakan dalam talam yang mana satu talam untuk empat orang. Disebabkan kami berdua, kami pun menjemput seorang saudara yang kebetulan lalu di hadapan kami untuk makan sekali bersama kami.

Sambil makan, kami saling bertanyakan nama dan berborak kosong. Rupa-rupanya saudara tersebut adalah salah seorang sukarelawan di sini. Selesai makan. Dia mengajak kami untuk ke pejabat Al-Jendarami untuk mengenali Al-Jenderami dengan lebih lanjut.

YAYASAN AL-JENDERAMI

Kami dibawa ke ruangan pameran yang terdapat di dalam pejabat tersebut. Kami pun ditunjukkan kitab-kitab pengajian dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh Yayasan Al-Jenderami. Rupanya, yayasan ini sudah ke peringkat global aktivitinya. Banyak pengiktirafan dan penghargaan diterima oleh yayasan ini dalam nusantara khususnya dan juga di peringkat antarabangsa.

Sebelum pulang, sempat juga kami menanyakan jika ada kuliah-kuliah pengajian yang dibuka kepada orang awam untuk datang belajar sekali-sekala. Ada katanya. Tapi kena beli dahulu kitab pengajiannya sama ada kita beli di luar ataupun boleh dapatkannya di Yayasan Al-Jenderami (kalau ada stok). Mungkin jika ada kesempatan, kami akan kembali lagi ke sini untuk mengikuti kuliah-kuliah yang dijalankan di sini.


Sampai di sini saja perkongsian saya. Bagi anda yang ingin tahu lebih lanjut tentang Yayasan Al-Jenderami, boleh saja ke laman web Al-Jenderami untuk anda melihat jadual aktiviti dan juga galeri gambar yang disediakan.




8 comments:

  1. Cantik masjid ni...thanks for sharing about Al-Jenderami
    =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama2. Saya tak sangka dekat kawasan terpencil camtu ada kompleks yang gah. Hehe

      Delete
  2. Menarik pengalaman ni.. t kasih atas perkongsian Afandi.. saya pun baru tau..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama2.. Memang menarik. Rasa nak pergi lagi lepas ni. hehe

      Delete
  3. menarik perkongsian pengalaman berkenaan Al-Jenderami ini.. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya saya rasakan yayasan ini sangat tersusun. Mungkin kalau ada kesempatan lain saya ceritakan.

      Delete
  4. MashaAllah ramainya :)

    Ikhlas,
    www.profhariz.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ramai-ramai camni baru seronok kan. Hehe

      Delete