Tuesday 21 January 2014


Selamat datang 2014. Hadirmu ku harap dapat melunaskan segala resahku. Semalaman ku bentangkan ingatan. Tiada yang istimewa, hanya satu lembaran catatan ringkas yang mengisahkan bahawa tahun-tahun yang sudah hanya sebuah potret silam yang kosong tidak berisi.

Ironi.

Hati menggumam membawa resah angin malam, “Mana pergi mimpi, angan, impian yang pernah satu masa dulu mekar?”

“Mungkin saja mati tak berbaja.”

Ku tatap satu-satu potret silam, mencari makna di sepanjang jalan kenangan. Ku jumpa sebuah pintu, tertulis jelas di situ, ‘Zaman Kanak-kanak’. Perlahan-lahan pintu ku kuak. Gamamku melihat satu susuk kecil dalam latar tempat yang sangat biasa bagiku. Seorang anak kecil polos sedang berdiri di bawah terik mentari, tangannya mengangkat tinggi, menggenggam kemas sebiji gasing kayu yang dililit tali, sedia untuk ‘memakuk’ gasing lawannya.  Matanya terkunci pada gasing lawannya yang berpusing menari dalam bulatan herot yang dilukis di atas tanah, terlukis dengan ranting kayu.

‘Prakk!’ Hatinya berbunga bila gasingnya berjaya  memakuk gasing lawan, mulutnya tersengih puas, lawannya menyambut culas.

Kemudian, ku dibawa ke satu kawasan padang ragut yang luas. Terlihat seorang kanak-kanak menjulang layang-layang, kawannya memegang tali lelayang sedia untuk berlari, kalau-kalau dapat bantuan dari angin petang yang kadang datang memberi harapan kepada dua bocah ini. Ku menoleh ke satu kawasan paya di hujung padang, ku lihat sisi kecilku bersama tiga kawan lainnya, membuka baju, berkira-kira untuk melakukan aksi  ‘terjun tiruk’ seperti yang dilihat mereka dalam tv. Pelantarnya sebatang pokok kering yang condong. Sedang leka memerhatikan anak-anak itu, tanpa sedar,  latar itu berubah lagi.

Aku melihat tiga orang anak kecil sedang menjerat ayam hutan dan burung wak-wak. Usai memasang jerat, anak-anak ini berlumba memanjat pokok rambutan, bersaing siapa yang paling cepat ke pucuk. Penat memanjat, berehat sebentar di dahan besar sambil tangan pantas memetik sebiji rambutan, dikupas lalu terus dimakan. Ku mendongak ke langit, hari hampir gelap, anak-anak ini terus bergelak ketawa tanpa hirau lambai senja. Teringatkan rotan di rumah menanti, anak-anak ini beransur pulang, berharap balik nanti ayah tak mengamuk. Namun, tiada duka di wajah mereka.

Pintu kenangan ku tutup. Aku kembali ke ruang bilikku.

Refeleksi diri tidak lagi seperti dulu. Diriku yang ‘dewasa’ telah melupuskan impian-impian silam. Aku jadi takut untuk berimpian. Di mana agaknya sifat ketakutan mula disemai, dibaja dan kini subur menjalar. Mungkin natijah trauma dari siri kegagalan serta kekangan hidup yang melilit. Ingin aku kembali ke waktu dulu. Waktu di mana aku berani melakukan apa saja. Tidak takut pada apa-apa. Tidak takut tinggi pokok, tidak takut deras air, tidak takut hantu jembalang. Mengikat tuala di leher sambil menjerit “..Superman..!”

Catatan mimipi yang hilang.


Ahh.. Aku rindu zaman itu.

0 comments:

Post a Comment