Sunday 30 March 2014





Mengikut kajian kita akan percaya jika sesuatu fakta atau perkara itu disertakan dengan perkataan ‘mengikut kajian’.

MENYOKONG HUJAH

Kita pasti biasa membaca artikel-artikel di internet yang kadang-kala hujahannya diperkuatkan dengan kajian-kajian serta penemuan-penemuan saintifik. Banyak kajian yang telah dilakukan dalam pelbagai bidang antaranya kesihatan, komunikasi, kecantikan, kehidupan, perbezaan jantina, dan sebagainya. Namun, adakah anda pasti kajian tersebut benar-benar dilakukan?

Bukan niat saya untuk mempersoalkan kajian mereka ataupun mereka yang menyandarkan pada kajian tersebut. Persoalan saya adalah kita mudah mempercayai sesuatu perkara jika ianya disertakan sekali dengan ‘mengikut kajian’ dan  ‘kajian menunjukkan’. Anda setuju?

“Kajian menunjukkan perempuan mudah untuk mempercayai orang yang mereka kenal di alam maya seperti Facebook berbanding orang yang mereka kenal secara realiti.”

"Anda lebih mudah untuk mendapatkan bantuan dari orang-orang yang merendah diri berbanding dengan orang-orang yang lebih sombong.”

Antara dua premis di atas, yang mana lebih meyakinkan anda? Kebanyakan dari kita akan memilih premis pertama kerana ianya disertai dengan 'kajian'. Namun, tahukah anda bahawa premis kedua adalah hasil kajian yang benar-benar dilakukan di Universiti Baylor, Texas? Manakala, premis pertama adalah palsu.

YANG MANA BENAR?

Di sini saya sertakan beberapa pernyataan yang saya ambil dari beberapa artikel dan pernyataan yang saya reka sendiri. Sedikit latihan untuk anda. Cuba anda kenalpasti premis mana yang benar-benar hasil kajian atau sekadar rekaan saya saja.

1. “Kajian menunjukkan kerjaya polis lebih stress berbanding guru.”

2. “Mengikut kajian sains, ketawa dapat menyembuhkan pelbagai penyakit jika dibuat mengikut kesesuaiannya.”

3. “Mengikut kajian perempuan lebih suka berbelanja berbanding lelaki.”

4. “Mengikut kajian yang dijalankan dijalankan di Toronto, Kanada, lelaki cenderung untuk bersesak menggunakan lif berbanding tangga walaupun hanya untuk naik satu tingkat sahaja.”

5. “Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas, kecantikan dan kebahagiaan adalah berkait rapat antara satu sama lain.”

6. “Melalui satu kajian yang dibuat selepas perang dunia kedua, didapati bahawa askar Amerika yang kurang kecergasan ialah seramai 50%.”

7. “Golongan yang berumur 65 tahun ke atas dan gemar meminum minuman beralkohol pada kadar yang sederhana dapat memanjangkan jangka hayat kira-kira dua tahun lebih lama berbanding mereka yang tidak mengambil minuman beralkohol menurut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat.”

8. “Mengikut kajian saintifik, madu yang disimpan dalam jangkamasa yang lama akan menghasilkan antioksidan yang tinggi bagi menghindari kanser.”

 9. “Mengikut kajian dalam sehari wanita akan mengeluarkan 7 ribu hinga 8 ribu patah perkataan. Manakala lelaki pula hanya mengeluarkan 2 ribu hingga 3 ribu patah perkataan sehari.”

'KAJIAN' KITA SENDIRI

Bagaimana? Dapatkah anda kenalpasti premis yang manakah benar? Untuk membantu anda, saya akan beri satu tips iaitu lima dari sembilan pernyataan di atas adalah benar. Selebihnya adalah sekadar rekaan yang saya hasilkan kurang dari dua minit. Mungkin ada yang dapat mengesan premis yang manakah benar namun jika anda tidak dapat membezakannya, jangan risau. Perkara ini adalah normal.

Perkara ini juga membuatkan saya terfikir. Jika saya seorang peniaga barangan kecantikan, kesihatan, pendidikan, makanan, mahupun apa sahaja produk, tentu saja saya boleh hasilkan ‘kajian’ saya sendiri untuk menyokong produk yang pasarkan. Saya yakin tentu ramai yang akan percaya dan menyokong propaganda yang saya jalankan. Namun, saya tidak tergamak untuk melakukannya melainkan saya seorang opportunis yang bertunjangkan matlamat menghalalkan cara.

KITA HARUS LEBIH PEKA

Senario ini sebenarnya bukan boleh berlaku dalam aspek pemasaran produk sahaja, ianya boleh berlaku dalam segala aspek kehidupan. Cuma mungkin saja kita yang tidak perasan. Oleh itu, kita seharusnya lebih teliti dalam menapis segala maklumat terutamanya di Facebook dan selidik terlebih dahulu maklumat yang ingin kita share.

Tapi, jangan pula selepas ini anda menolak mentah-mentah sesuatu ‘kajian’. Apa yang ingin saya sampaikan adalah kita harus lebih peka dalam menghadam sesuatu maklumat kerana berdasarkan pengalaman saya yang sedikit ini, terlalu banyak kecurangan dalam aspek informasi yang telah dan sedang berlaku. Kita pula seolah-oleh menyokong perkara ini dengan menyebarkannya lagi.

Sudilah kiranya anda kongsikan jawapan anda di ruangan komen di bawah. Mana tahu jika jawapan anda tepat.

Thursday 27 March 2014


Anda pernah ke Pesta Buku Big Bad Wolf? Anda pasti akan merasai keseronokan membeli buku pada harga yang sangat murah. Mana taknya. Setiap buku dijual pada harga diskaun sebanyak 75% ke 95%. Hinggakan ada buku yang berharga RM1!


Kali ini Big Bad Wolf yang berlangsung di MIECC, Mines tampil dengan idea yang lebih menarik. The Big Bad Box Sale.

Untuk jualan buku kali ini, anda tidak boleh membeli buku seperti biasa. Anda hanya boleh membeli kotak. Kotak?

 Ya, anda hanya perlu membeli kotak yang disediakan dalam dua saiz. Kotak dari luar tidak dibenarkan. Apa yang perlu anda lakukan adalah memenuhkan buku-buku yang anda pilih ke dalam kotak yang telah anda beli tadi. Menarik bukan.

Anda bebas mengisi apa saja jenis buku tanpa mengira saiz asalkan kotak anda boleh ditutup. Ini adalah kerana sebelum anda melepasi pintu keluar, kotak anda akan dilekatkan dengan pita pelekat. Jadi, anda harus bijak menyusun buku-buku anda bagi mengoptimumkan penggunaan ruang di dalam kotak tersebut.

Hasilnya, saya dapat mengisi 56 buah buku ke dalam kotak yang bersaiz besar. Antaranya adalah buku-buku berkaitan bisnes, kesihatan, dan sebagainya.


Tips dari saya ialah anda harus pergi bersama kawan-kawan jika anda merasakan harga kotak yang dijual agak mahal. 



Contohnya anda pergi bertiga dan kongsi sebuah kotak. Jangan risau kerana kotak yang berharga RM99.90 itu boleh memuatkan 40 ke 60 buah buku jika anda pandai menyusunnya seperti yang saya nyatakan sebelum ini.

The Big Bad Box Sale ini akan berakhir pada 30 Mac, pukul 9 malam. Pada anda yang ingin menambah koleksi buku anda, jangan lepaskan peluang ini. Masih tinggal beberapa hari lagi untuk anda berhadapan dengan Serigala Jahat ini. 

Saturday 22 March 2014



Sejujurnya saya sebelum ini agak asing dengan majlis zikir dan selawat. Hanya mendengar cerita dari kawan-kawan yang bersama tarekat. Seronok kata mereka. Saya sekadar membayangkan apakah rasanya berada dalam majlis membesarkan Allah dan Rasul-Nya. Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bila kita sudah rasa getarnya hati semasa berada dalam majlis ini, maka kita akan faham mengapa banyak jiwa-jiwa yang sentiasa merindukan Allah dan Rasul.

Secara ringkasnya, Selawat Perdana yang diadakan semalam merupakan kali kedua saya berada dalam majlis  maulud seperti ini. Ia juga rentetan dari malam cinta rasul yang diadakan di Masjid Besi, Putrajaya dua minggu sebelum Selawat Perdana ini. Cuma kali ini, liputannya lebih meluas dan saya melihat lautan manusia yang turut sama bermaulid pada malam ini.

Saya dan Faiz bergerak tiba di kawasan masjid dalam pukul enam petang dan kami terpaksa meletakkan kereta di belakang bangunan kastam Putrajaya kerana jalan untuk ke masjid tersebut ditutup. Kehadiran kami disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu dan kami diberikan sebotol air mineral 500ml, sekeping sejadah, senaskah Yaasin, dan senaskah bacaan selawat.

Sepanjang perjalanan kami ke arah masjid yang jaraknya hampir 500meter, kami melihat kanan dan kiri ada gerai-gerai menjual makanan, pakaian, dan sebagainya. Sebelum masuk ke perkarangan masjid untuk bersiap-siap untuk solat maghrib, kami bergambar berlatarbelakangkan masjid Putrajaya. Sempat juga kami berlagak seperti pelancong luar. Kononnya supaya orang disekitar tidak pelik melihat lagak  kami yang seolah-olah pertama kali sampai ke sini.

Majlis alunan selawat dan qasidah bermula selepas solat Isyak yang mana kami dibimbing oleh Habib Syeich Bin Abdul Qodir Assegaf. Antara qasidah yang kami alunkan adalah Ya Hanana, Madad, Padang Bulan dan sebagainya. Meremang juga bulu roma bila satu himpunan manusia bersatu dalam mengalunkan selawat kepada Rasul. Perasaannya sukar di gambarkan dan anda hanya akan tahu bila turut sama dalam majlis ini.

Malam ini juga kami sama-sama menadah tangan memohon keampunan dan keselamatan terutamanya pada penumpang dan anak kapal MH370. Semoga mereka selamat dan misteri MH370 ini dapat dirungkaikan dengan segera.

Saya juga agak tersentak semasa bacaan doa oleh Habib Syeich yang mana beliau memohon supaya Malaysia sentiasa dalam keselamatan dan dihindarkan dari fitnah.

Beliau mengulang-ngulang doa tersebut dengan penuh pengharapan bagaikan ada suatu benda berat yang akan berlaku di Tanah Melayu ini. Mungkin itu cuma fikiran liar saya sahaja dan harap-harap kita sentiasa berada dalam keadaan yang aman. Apa yang boleh saya kata, majlis malam ini berjalan dengan lancar dan berakhir pun dengan lancar.

Jika ditanya pendapat dan komen saya, tentu saja saya akan kata ianya sangat bagus dan berharap majlis seperti ini perlu diadakan lagi.

Thursday 20 March 2014

 

Setiap billionaire dunia mempunyai satu persamaan walaupun mereka berbeza latarbelakang iaitu mereka memliki blueprint matlamat mereka sendiri. Inilah rahsia terbesar mereka yang mungkin ramai dari kita tahu tapi kita tidak menetapkan matlamat kita sebagaimana mereka lakukan.

Kita harus mengambi kira beberapa perkara penting supaya matlamat yang kita tetapkan dapat menjadi landasan yang sentiasa memandu usaha kita ke arah kejayaan. Tidak semestinya matlamat anda harus menjadi jutawan. Anda juga boleh menetapkan matlamat untuk mencapai berat impian, bentuk badan idaman, dan sebagainya.

DITULIS SECARA HARDCOPY

Matlamat anda mestilah matlamat yang bertulis. Ramai yang hanya membayangkan matlamat dan impian mereka tapi tidak menzahirkannya secara bertulis. Elakkan dari menyimpan matlamat anda secara softcopy kerana matlamat tersebut boleh diubah bila-bila masa. Pastikan ianya hardcopy dan jika anda menulis matlamat di komputer, print matlamat tersebut.

Untuk memperoleh kejayaan, anda perlu konsisten dan tegas terhadap impian sendiri. Matlamat yang sentiasa berubah-ubah tidak akan membantu anda untuk berjaya sebaliknya ianya akan memakan diri anda sendiri.

MATLAMAT YANG JELAS

Pastikan matlamat atau impian yang anda tulis jelas, terperinci dan mampu dibayangkan. Anda mungkin tidak akan mencapai apa yang anda impikan jika ianya terlalu umum. Sebagai contoh, anda berimpian untuk menjadi seorang jutawan. Anda mungkin menjadi seorang jutawan tapi, bila? Mungkin 20 tahun atau 30 tahun lagi?

Cuba anda bayangkan sebuah rumah banglo 3 tingkat sebesar 10,000 kaki per segi di tanah persendirian anda pada tahun 2018. Fikirkan pula berapa kos untuk memiliki rumah idaman tersebut. Tanpa sedar, minda anda akan bekerja untuk memenuhi impian terebut. Tetapi jika anda sendiri tiada perincian yang jelas tentang rumah idaman anda, jangan salahkan Tuhan jika harapan anda tidak dipenuhi kerana anda sendiri tidak jelas dengan apa yang diminta.

Berlatihlah untuk berangan dengan lebih dalam dan terperinci.

HANDS-ON EXPERIENCE

Anda berimpian untuk memiliki sebuah kereta mewah seperti Porsche Carrera berwarna kuning pada usia anda 28 tahun. Anda perlu mencuba sendiri menaiki kereta tersebut. Rajin-rajinlah untuk pergi ke kedai kereta mewah ataupun autoshow kereta mewah dan masuk ke dalam kereta tersebut. Nikmati dan hayati betul-betul interior design kereta tersebut seolah-olah anda sudah memiliki kereta tersebut. Biarlah orang lain kata anda poyo kerana anda tahu yang ingin berjaya adalah anda.

Begitu juga jika anda mengimpikan  sebuah rumah idaman seperti contoh yang saya sebutkan di atas pada usia anda 30 tahun. Anda boleh pergi ke pameran hartanah dan sebagainya. Rasai sendiri pengalaman duduk di dalam rumah banglo. Jika anda mengimpikan badan sebesar The Rock, selalulah pergi ke pertandingan bina badan sebagai contoh.

Mungkin anda ada impian lain. Cuba dapatkan hands-on experience untuk impian anda itu.


GARIS WAKTU MENCAPAI MATLAMAT

Bila anda jangkakan untuk mendapat bentuk badan yang menawan? Bila anda ingin mendapatkan kereta mewah idaman anda?

Garis waktu adalah tempoh masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda. Ianya mestilah sesuatu yang logik dan boleh dicapai. Anda tidak boleh berimpian untuk memiliki kereta Porsche Carrera tiga bulan dari sekarang.

Jika anda menetapkan garis waktu selama tiga tahun, cuba pecahkan lagi kepada setahun demi setahun, sebulan demi sebulan, dan seterusnya seminggu demi seminggu. Perjalanan anda akan tampak jelas dan tidak mustahil untuk dilakukan.

TAMPAL MATLAMAT ANDA

Anda perlu sentiasa melihat matlamat anda. Tampal matlamat di tempat-tempat yang anda selalu lihat seperti di sebelah komputer, di tempat kerja, di pintu peti sejuk. di dalam kereta, dan sebagainya.

Seeloknya, anda sertakan sekali gambar-gambar impian anda supaya imejnya akan sentiasa anda bayangkan. Ini membantu supaya minda separa sedar anda turut bekerja.

BERKONGSI MATLAMAT DAN IMPIAN

Anda akan berlari dengan lebih cepat jika dikejar anjing. Begitu juga anda apabila dikejar oleh matlamat. Inilah salah satu rahsia usahawan berjaya yang mana mereka sentiasa dikejar matlamat. Bukannya mengejar matlamat. Mereka meletakkan diri mereka dalam keadaan ‘terpaksa’ berjaya.

Caranya adalah dengan berkongsi matlamat dan impian kita kepada keluarga, kawan terdekat, serta sesiapa saja yang kita kenal. Bukan untuk berlagak, tapi supaya kita keluar dari zon selesa. Kita akan merasakan kita perlu untuk berjaya kerana kita sudah membuat declaration awal akan kejayaan kita.


Semoga sedikit perkongsian ini dapat membantu anda dalam menetapkan matlamat dan impian anda supaya perjalanan anda menuju kejayaan sentiasa berada dalam landasan yang betul. Namun, yang paling penting adalah tindakan dari anda, itulah yang membezakan antara orang berjaya dan orang yang gagal. 

Wednesday 19 March 2014


KITA BUKANNYA GAGAL

"Kenapa saya susah untuk berjaya dan sering saja gagal?"

Saya masih ingat ketika itu saya masih aktif dalam network marketing. Kira-kira dalam tiga tahun lepas. Saya pernah menanyakan soalan ini kepada seorang mentor saya dalam bidang perniagaan. Kini beliau bergiat aktif dalam bidang motivasi di Melaka.

Saya datang kepada beliau dan bertanya di manakah kesilapan yang saya lakukan dan apa solusi kepada permasalahan tersebut. Kemudian, dengan tenang beliau menjawab,

“Kita semuanya bukannya tidak berjaya ataupun gagal, sebalknya kita hanya belum berjaya.”

Terkesima saya dengan jawapan ringkas beliau. Sebelum sempat saya mempersoalkan jawapan tersebut, terus saja beliau menyambung sambil tangannya mencapai sehelai tisu di atas meja (ketika itu kami di restoran) lalu memegang kemas pen yang memang sentiasa ada di dalam kocek baju beliau. Sedia untuk menulis sesuatu.

BULATAN KEJAYAAN

Dengan berhati-hati, beliau melakarkan sebuah bulatan ringkas yang agak herot namun cukup untuk menggambarkan bahawa itu adalah sebuah bulatan. Bulatan itu kemudiannya dilorekkan sedikit.

Beliau menyambung kembali ucapannya sambil hujung mata pena diletakkan di titik tengah bulatan itu,

“Kita anggapkan bulatan ini adalah usaha dan rintangan kita untuk berjaya. Manakala, ruang kosong di luar bulatan ini adalah kejayaan kita yang mana garisan bulatan ini adalah sempadannya.”

Saya mengangguk bisu untuk mengiyakan pernyataan beliau walaupun masih lagi kabur dengan maksud beliau.

“Kita andaikan segala usaha kita ke arah kejayaan umpama melakar garisan dari titik tengah bulatan ke ruang luar yang kosong itu. Mudah bukan. Tapi bayangkan jika kita berhenti di tengah-tengah ketika sedang melakar garisan ini. Adakah kita akan beroleh kejayaan?” Soal beliau penuh makna.

Saya pun menggeleng kepala sebagai tanda menjawab persoalan beliau. Beliau menambah lagi,

“Begitulah juga dengan kita sebagai manusia. Kita bukan seorang yang gagal tapi sebenarnya kita masih lagi dalam perjalanan untuk menuju kejayaan. Ada manusia yang garisannya sudah terlalu hampir untuk keluar ke ruang kejayaan tapi sayangnya dia berhenti di pertengahan jalan. Kuncinya di sini kita harus konsisten dalam usaha kita membina kejayaan”

NIKMAT KEJAYAAN



Tambah beliau lagi,

“Kita jangan cemburu dengan orang lain yang sudah berjaya hanya dengan sedikit usaha. Mungkin bulatan yang orang itu lalui lebih kecil dari bulatan kita. Tapi ingat, semakin besar bulatan yang kita lalui, semakin manis nikmat yang kita akan rasa bila kita berjaya nanti, dan untuk kita memulakan bulatan baru pun sudah tiada masalah kerana banyak ilmu yang kita kutip sepanjang melakar garisan di bulatan yang pertama itu.”

“Apa yang penting di sini, kita hanya perlu fokus dan konsisten untuk keluar dari bulatan pertama. Setelah itu kita akan lihat segalanya seolah menjadi lebih mudah.”

Petang itu saya pulang dengan satu persepsi  baru tentang kejayaan. Itulah pentingnya untuk berkawan dengan orang-orang yang positif kerana auranya sedikit sebanyak akan tertumpah ke kita. Kalau diberi kesempatan, saya ingin berjumpa kembali dengan beliau untuk menanyakan perkhabaran dan berborak panjang. 

Tuesday 18 March 2014


HIDUP TANPA AIR

Sudah sebulan lebih masalah air melanda kampung. Adakah ujian ini membuatkan kita lebih berfikir ataupun sekadar sibuk menyalahkan orang lain? Mungkin di saat kita sibuk mengeluh, ada pihak-pihak yang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah ini  dan ada juga individu-individu yang sudah mula memikirkan alternatif untuk mengurangkan masalah ini.

Krisis air yang panjang ini mengingatkan saya pada sebuah rancangan yang disiarkan oleh KBS World bertajuk Real Experience Project : The Human Condition. Rancangan ini adalah sebuah pilot program yang menampilkan pelbagai kisah yang terpaksa dilalui oleh enam orang komedian apabila mereka terpaksa menjalani kehidupan seharian tanpa keperluan asas.


20 LITER SEHARI?!

Kesemua mereka akan ditempatkan di sebuah rumah selama tujuh hari tanpa keperluan asas tertentu seperti telefon bimbit, internet dan elektrik. Perkara-perkara ini sangat penting dalam kehidupan moden ketika ini. Bagi episod ini, misi mereka adalah untuk hidup tanpa air selama seminggu.

Segala pengalaman mereka akan dikongsikan dalam rancangan ini terutamanya tentang perubahan gaya hidup yang mendadak dan sikap mereka bila mana nikmat air ‘ditarik’ seketika.

Mereka diberi 20 liter air sehari dan harus melakukan aktiviti harian dengan jumlah tersebut. Bayangkan anda perlu mandi, basuh baju, memasak, dan sebagainya dengan hanya 20 liter air! Anda harus menonton rancangan tersebut untuk mendapat idea tentang survival mereka dalam keadaan tersebut selama seminggu. Anda boleh aplikasikan teknik mereka dalam kehidupan seharian. Berbaloi untuk ditonton.


3 LANGKAH PENJIMATAN AIR

Anda juga boleh melakukan penjimatan anda sendiri. Di sini saya kongsikan beberapa langkah mudah yang boleh kita amalkan untuk menjimatkan air. Segalanya bermula dari diri anda sendiri.


1. Tandas

Gunakan tandas yang mempunyai keupayan flushing atau curahan yang rendah (6 liter atau kurang). Ataupun ada boleh letak sebotol air ke dalam tangki curahan untuk mengurangkan air yang dicurah. Seeloknya, kurangkan flushing dalam sehari.

Kurangkan ‘berasap’ ketika di dalam tandas.

Sekali-sekala, letakkan pewarna ke dalam tangki curahan. Periksa kebocoran dengan melihat jika terdapat air berwarna yang meleleh keluar selepas anda flush.

2. Bilik Mandi

Kurangkan masa mandian dan tutup pancuran ketika bersabun. Seeloknya gunakan sabun organik kerana buihnya kurang dan mudah untuk dibilas.

Jangan biarkan air mengalir ketika sedang memberus gigi. Penting.

3. Dapur

Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk sebaliknya gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki.  Cuci sayuran, buah-buahan dan makanan di dalam sinki atau bekas yang berisi air untuk elakkan air mengalir.

Air dari basuhan sayuran atau beras boleh digunakan untuk menyiram tanaman di sekitar rumah.

Selain itu, pastikan mesin basuh penuh muatan cucian kerana setiap cucian akan menggunakan jumlah air yang sama walaupun pakaian yang dibasuh hanya sedikit sahaja.


SISTEM PENGUMPULAN HUJAN

Anda juga boleh mengurangkan bil air dengan mengumpul air hujan bagi kegunaan luar seperti untuk menyiram tanaman dan membasuh kereta. Bermacam cara dan teknik yang disediakan untuk kita menghasilkan mekanisme yang dapat mengumpul air hujan untuk kegunaan domestik.

Sistem pengumpulan air hujan yang dipasang di rumah memang sangat membantu. Sebagai contoh, anda boleh lihat di sini untuk mengetahui cara mudah membina sistem pengumpulan air hujan yang boleh diaplikasikan di rumah anda.

Selamat mencuba!

MEMAYU HAYUNING BAWANA, AMBRASTA DUR HANGKARA

Seharusnya setiap manusia berusaha ke arah kesejahteraan seiring dengan usaha untuk membanteras segala ketamakan dan kerakusan. Suka saya mengupas falsafah jawa ini melalui konteks kita sebagai rakyat Malaysia supaya kita lebih terkesan. Semoga ktia dapat pencerahan dan pengajaran.

NEGARA YANG AMAN

Kita sedia maklum bahawa Malaysia dikenali sebagai Negara yang aman dan hampir bebas dari bencana alam. Jika dilihat dari aspek geografi, Malaysia bukan sebuah negara yang bergunung-ganang seperti Kaukasus Utara dan Tajikistan dengan penduduk tiada pilihan melainkan terpaksa tinggal di kawasan pergunungan yang berisiko tanah runtuh. Negara kita juga jauh dari lingkaran api pasifik yang mana kerak buminya pecah dan bergeser menyebabkan risiko untuk berlakunya gempa bumi sangat tinggi.

Tambahan pula, Malaysia dikurnia dengan pelbagai hasil bumi yang menjadi rebutan negara-negara luar. Beruntung kita dilahirkan dan tinggal di Malayia. Namun, kita lupa tugas kita sebagai tuan di tanah bertuah ini kerana terlalu rakus mengejar pembangunan dunia dan memuja sistem kapitalis ciptaan Barat.


BENCANA ALAM

Dewasa ini, banyak bencana yang melanda negara kita. Mungkin ujian untuk menilai kebergantungan kita kepada Tuhan pencipta alam. Ataupun hukuman sebagai peringatan untuk kita sedar. Setelah melalui beberapa siri tragedi tanah runtuh, kita dikejutkan pula dengan banjir besar di beberapa daerah hingga memaksa banyak pihak untuk turun menghulurkan bantauan.

Selepas itu, kita terpaksa mengharungi musim kemarau yang agak panjang disertai dengan asap jerebu yang semakin menyesakkan. Perubahan yang mendadak ini bagaikan memukul kita dengan pelbagai pertanyaan. Apa sebenarnya yang berlaku dan di mana silapnya?

MENGHALANG KERAKUSAN

Kita lupa bahawa terlalu banyak kemusnahan yang telah kita lakukan terutamanya pada alam. Mungkin inilah caranya alam mengingatkan kita tentang kesederhanaan. Mungkin jgua inilah waktunya untuk kita belajar mengawal nafsu serakah, ketamakan, dan kerakusan kita dalam mencarik isi dunia demi kepentingan sendiri.

Terlalu banyak yang tertindas sebenarnya.

Cuba kita pandang dari sudut ekonomi. Kita akan lihat bagaimana sistem ekonomi kapitalis liar ciplakan Barat ini mencengkam rakyat. Kita dijerat dengan dominasi korporat swasta yang mana kuasanya menzalimi. Tanpa sedar sebenarnya kita menyokong kezaliman tersebut lalu kita turut sama terhukum. Buktinya cukup banyak yang mana akhirnya mewujudkan jurang ekonomi yang terlalu jauh.


Kita seharusnya berusaha ke arah keselamatan, kesejahteraan dan keamanan. Kita juga harus memerangi kepincangan yang berlaku sekian lama, Tidak perlu menjadi Jebat yang derhaka menuntut bela. Cukup dengan kesedaran dan perubahan yang walaupun kecil tapi berterusan. Mungkin perubahan inilah yang akan mencetus keharmonian ummah.

Monday 17 March 2014


Orang kata gemuk kurus tak mustahak,

Yang penting pembawakan kita di khalayak,

Tapi bagi aku, gemuk itu tak sihat,

Jalan sikit dah penat,

Nak bersukan pun dah tak larat,

Minta maaf pada siapa yang melihat,

Sebab aku pun turut sama terlibat.



HEAVYWEIGHT

Saya tergolong antara insan-insan heavyweight. Dengan ketinggian 1.71m. Sering saya cemburu pada ketinggian artis-artis Korea yang puratanya 1.80m. Mungkin kalau ada petua untuk menambahkan ketinggian bolehlah saya cuba. Namun, jika saya menyandarkan pada sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 1996 yang mana menyimpulkan bahawa ketinggian lelaki di Malaysia adalah 1.65m, ketinggian saya boleh dianggap normal. Saya tidaklah tinggi, rendah pun tidak.

Walaubagaimanapun, yang menjadi kegusaran saya adalah berat badan yang kini hampir mencecah 105kg!  Sebagai rekod, berat saya pada tahun 2008 adalah 75kg.



BODY MASS INDEX (BMI)

Setelah melakukan perkiraan, Body Mass Index (BMI) saya adalah 35. Bagi siapa yang kurang jelas, BMI adalah satu indikator yang dicipta untuk mengukur body fat berdasarkan kepada tinggi dan berat. Indeks ini tidak dapat mewakili kesihatan kita secara tepat, namun, ianya dapat menentukan status berat kita sama ada kurang berat, normal, ataupun terlebih berat.

Bagaimanakah caranya untuk kita merancang ataupun mengawal berat badan berpandukan kepada nilai BMI? 

Formula untuk BMI adalah berat(kg)/(tinggi(m))2. Manakala, BMI yang normal adalah diantara 18 ke 25. Untuk saya mendapatkan BMi dari 35 ke 25, saya perlu mendapatkan berat yang ideal iaitu 73.1kg. Berat saya sekarang adalah 104.3kg. Maka, saya perlu menurunkan berat sebanyak 31.2kg!

Satu usaha yang berterusan dan bersistematik diperlukan bagi menurunkan berat sebanyak itu. Ramai orang membuat kesilapan dengan melakukan diet secara sembrono bagi mencapai matlamat berat mereka. Kebanyakan mereka akan bersemangat untuk menjaga diet pada peringkat awal, kemudian mereka akan kecewa kerana tidak mendapat perubahan yang ketara. Sebaliknya, mereka hanya berjaya untuk menahan lapar sahaja. Tanpa perancangan yang rapi, kita juga akan mengalami yo-yo dieting. Sebelum ini, saya mengalami masalah yang sama. Jadi, mari kita sama-sama merancang diet yang betul.


TIMELINE

Untuk kali yang ke ‘dua ribu’, saya akan reset azam untuk kurangkan berat badan kerana usaha-usaha sebelum ini setakat berhenti di pertengahan jalan. Hangat-hangat tahi ayam. Mungkin perancangan diet kali ini berjaya, siapa tahu. Namun, sedikit sebanyak saya dapat mengutip beberapa ilmu berdasarkan dari pengalaman-pengalaman yang lepas.

Sebelum kita bermula, perkara pertama yang kita harus lakukan adalah menetapkan timeline yang logik dan tidak membebankan. Anda tidak perlu terburu-buru kerana anda hanya akan merosakkan badan jika terlalu memaksa badan anda. Menurunkan berat dengan cara yang sihat adalah keutamaan.

Antara yang perlu dalam timeline anda ialah tarikh anda ingin bermula dan tarikh akhir. Garis masa ini akan menjadi panduan supaya anda sentiasa dalam landasan. Berat awal dan berat akhir yang ingin dicapai juga perlu ada. Bagi memudahkan anda, saya menyarankan anda menggunakan mana-mana apps yang boleh membantu anda.

Ada pelbagai apps yang boleh membantu anda, contohnya apps yang selalu gunakan adalah Libra WeightManager. Apps ini akan membantu anda dalam beberapa perkara antaranya berapa kalori yang diperlukan dalam sehari dan jumlah berat yang perlu dikurangkan dalam seminggu. Anda juga dapat melihat perkembangan berat anda melalui graf yang disediakan.


DAILY CALORY REQUIREMENT (DCR)

Bila anda sudah jelas dengan timeline diet anda, strategi seterusnya adalah dengan mengawal pengambilan kalori. Bagi menurunkan berat badan, pengambilan kalori anda perlu kurang daripada kalori yang diperlukan. Anda perlu tahu berapa jumlah keperluan kalori yang badan kita perlukan dalam sehari, Daily Calory Requirement (DCR).

Sebelum kita mengetahui nilai DCR, kita perlu tahu nilai BMR, Basal Metabolic Rate terlebih dahulu. BMR adalah jumlah kalori yang digunakan dalam sehari bagi menggerakkan sistem badan kita. Formulanya begini,

Perempuan = 655 + (9.6 x berat,kg) + (1.8 x tinggi,cm) – (4.7 x umur)
Lelaki = 66 + (13.7 x berat,kg) + (5 x tinggi,cm) – (6.8 x umur)

Untuk memudahkan anda faham, kita ambil kes saya sebagai bahan kajian.

Afandi = 66 + (13.7 x 1043) + (5 x 171) – (6.8 x 24)

Mengikut formula di atas, Basal Metabolic Rate (BMR) saya adalah 2186.7 kalori sehari. Maksudnya, kalau saya tidur sepanjang hari pun, kalori yang badan saya bakar adalah sebanyak itu.

DCR pula dikira mengikut activity level kita seharian.  Ianya berdasarkan aktiviti fizikal kita. Jika mengikut kes saya, mungkin di skala 2 (1.375). Maka,

DCR = BMR x 1.375 = 3006.7 kalori sehari.

Sifirnya mudah. kalau kalori yang diambil kurang dari 3006.7 sehari. Berat badan saya akan turun.

Nampak mudah bukan?!

Tapi yang menjadi masalah adalah untuk mengawal pengambilan kalori kerana anda tidak boleh hanya makan sayuran atau buah sahaja. Diet yang seimbang mempunyai nisbah makanan yang betul seperti protein, lemak, karbohidrat yang betul selain dari sayuran dan buah-buahan.

Di lain kesempatan, saya akan berkongsi tentang cara untuk mendapatkan diet yang seimbang tetapi masih lagi dalam julat kalori yang kita perlukan. Atau, mungkin saya akan berkongsi tentang afterburn effect seperti yang banyak digunakan dalam rejim latihan fitness celebrities yang terkenal seperti Kevin Zahri, Mike Chang, Chris PowellJillian Michaels, dan ShinOhtake.  



Dengan ini, saya mengisytiharkan diet plan untuk kali yang ke 'dua ribu'.

Sunday 16 March 2014

FACEBOOK 

Kini, media sosial Facebook telah menjadi satu kewajiban kepada majoriti kita yang 'hidup' di alam maya. Bila saja ada liputan  internet sama ada melalui komputer mahupun telefon pintar, pasti perkara pertama yang akan kita lakukan adalah menjenguk ke laman Facebook kita. Ada yang update status, upload gambar , share artikel, like status kawan dan lain-lain. Ada juga yang sekadar melihat news feeds. Saya juga antara yang rajin membaca news feed kawan-kawan di Facebook yang mana selalunya saya akan baca satu persatu aktiviti mereka sepintas lalu.

Dalam proses scanning ini, pandangan saya selalunya akan tertancap pada status dan komen yang bersifat provokasi. Status atau komen provokasi ini boleh saya bahagikan kepada beberapa jenis supaya mudah untuk dikenali. Untuk menerangkan perkara ini, saya akan bahagikannya dalam konteks pengguna Facebook di Malaysia. Saya namakannya 'Status Nak Cari Pasal'.

YOU HAVE DECLARED WAR!


Provokasi Politik

Posting berkenaan politik yang pasti akan mengundang banyak perkelahian. Jika anda terlihat posting ini dan turut sama 'menyelam' dalam lautan komen di sini, akan terlihat jelas dua golongan yang akan mewakili entiti pegangan politik masing-masing iaitu kerajaan dan pembangkang. Mereka akan bermatian untuk mempertahankan hujah masing-masing. Tak perlulah saya berikan contoh di sini, anda pasti faham. Pada pendapat saya, senario ini boleh berlaku kerana landskap politik di Malaysia yang menganggap pihak mereka 'maksum' dan mustahil kesalahan boleh berlaku di pihak mereka. Mereka suci. Jadi, jika ada sesiapa yang berani menjentik kesucian ini, bersiap siagalah anda. You have declared a war!

Provokasi Agama

Pernahkah anda melihat status dari tokoh agamawan yang mengkritik agamawan lain ataupun fikrah lain yang dirasakan tidak sehaluan? Jika pernah, pastinya anda juga ada membaca komen-komen dari penyokong si pengkritik dan pembela kepada yang dikritik. Sifirnya mudah, penyokong pihak yang dikritik akan bermatian-matian mempertahankan agamawan mereka manakala penyokong si pengkritik pula akan berhempas pulas menyokong tindakan agamawan mereka. Pertembungan ini juga pastinya mengundang suasana tegang dan yakinlah, perkara ini tidak akan selesai serta membuang masa anda. Bagi saya, perkara ini bukan sesuatu yang sesuai untuk dibincangkan secara terbuka di Facebook kerana banyak pihak yang akan bertelagah dan boleh menimbulkan banyak salah faham.

Provokasi Artis atau Individu Berpengaruh

Setiap kemasyurahan dan populariti ada harganya. Itulah yang harus ditanggung oleh individu-individu yang berpengaruh terutamanya artis yang kita tahu tidak lepas dari gosip serta umpatan. Isu ini juga sama seperti provokasi-provokasi di atas cuma subjeknya adalah artis. Jadi, tidak perlulah saya ulas panjang kerana saya pun tidak banyak mengambil tahu perkembangan artis-artis di Malaysia. Kalau ada pun artis Korea. Pastinya lepas ini saya pula akan dikritik hebat, "Hargailah produk dari Malaysia!"

Provokasi Kelab Kesayangan

Bola sepak. Satu sukan yang berjaya melahirkan ramai peminat fanatik dan ultras yang sentiasa menyokong kelab kesayangan mereka. Kelab luar negara mahupun kelab tempatan, pasti akan berlaku percakaran.Contohnya bila pasukan JDT membeli pemain-pemain terbaik Malaysia untuk diserapkan ke dalam skuad mereka, banyak peminat-peminat pasukan lain yang tidak berpuas hati. Tak perlulah disebut pasukan mana. Maka, bila ada sahaja status berkaitan pasukan JDT sama ada kejayaan ataupun kegagalan pasti mendapat 'sambutan'. Yang pasti sambutannya cukup 'ganas' di ruangan komen.

Holier-than-thou

Holier-than-thou selalunya bermula di ruangan komen, dan jarang ia berada di status. Maksudnya, mereka yang merasakan diri mereka paling mulia. Untuk menyatakan perkara itu, mereka akan komen 'nasihat' yang baik kepada orang lain dengan cara yang sangat tidak berhemah. Contohnya, bila seseorang post status, 

"Bestnya kalau dapat pergi ke Paris."

 Mereka yang 'mulia' ini akan berkomentar,

"Dari ko pergi Paris, baiklah ko pergi Mekah. Ada jugak faedahnya." 

KITA SEBAGAI PEMERHATI

Mesti anda tertanya-tanya apa kaitan status-status tersebut dengan tajuk di atas. Inilah point yang sebenarnya. Kita perhatikan bahawa komen-komen mereka yang terlibat dalam perang komen yang panjang tidak disulami dengan ayat dan bahasa yang baik. Kadang-kala diselit juga dengan carutan dan makian. Sarcasm dan sebagainya.

Jika anda sebagai pemerhati atau spectator, bagaimana agaknya jika perang komen mereka diaplikasikan di dunia luar dari Facebook? Apa imej yang akan anda bayangkan?



Jika anda merasakan imej ini tidak cukup menggambarkannya, bagaimana pula dengan ini?




Apa yang anda bayangkan?