Wednesday 26 February 2014



Tiba-tiba rajin pula Dayat mengajak untuk berjoging petang ini. Bagus juga sebab saya pun memang memerlukan senaman kardio. Nak turunkan berat badan kononnya. Cuma bila sudah lama tidak berjoging, saya jadi sedikit kekok. Rasa lain macam. Agaknya sebab itulah saya joging tidak sampai sepuluh minit dah berhenti.


Salah kasut ke? Salah teknik ke? Mungkin perlukan sedikit masa. Memang seronok kalau berjoging di Putrajaya Lakeside kerana pemandangannya yang menarik. Banyak yang dapat kita saksikan sepanjang berjoging di sini. Bagai ada kelainannya di sini dari segi landskap, binaan, dan suasananya yang sentiasa menggamit kita untuk berada di sini.


Ada jeti kecil yang seolah terapung di permukaan tasik yang lembut beralun. Di kejauhan terlihat bangunan tinggi megah berdiri sambil bayangnya sibuk menari meliuk mengikut alunan air tasik yang dihembus angin petang. Bangunan apa pun saya tak pasti. Ada juga terlihat menara tinjau tapi saya tak sempat untuk menapak ke sana kerana maghrib sudah semakin hampir. Kalau ada kesempatan saya akan melihat pemandangan dari menara tersebut. Tentu lebih menarik.




Sebenarnya trail  joging di sini agak panjang sehingga ke medan ikan bakar yang berhadapan PICC. Banyak lagi tarikan indah yang boleh disaksikan. Cukuplah dulu untuk petang ini. Petang di Putrajaya Lakeside.

Tuesday 25 February 2014



Keadaan di Malaysia dalam sebulan dua ini memang agak panas dan kering kesan dari kemarau yang berpanjangan dari hujung tahun lepas. Ditambah pula masalah air di kampung saya yang membelenggu dan berlarutan selama tiga minggu. Memang betul-betul menguji kesabaran. Saya harus sabar. Mungkin ini ujian untuk kita lebih beriman, atau mungkin saja hukuman untuk kita lebih sedar.


Mengenangkan cuaca yang bahang dan krisis air yang melanda, perasaan untuk berenang meluap-luap. Membayangkan kenikmatan berendam dalam air kolam yang sejuk cukup merangsang. Siapa yang tak tergoda dengan kejernihan air kolam di Presint 6, Putrajaya yang kadang-kala berkocak lembut dihembus angin, menimbulkan riak kecil dan bayangnya terbias di sudut kolam bila disapa cahaya matahari.


Pagi. Pukul sembilan tepat saya sudah berada di kolam Presint 16, Putrajaya. Sengaja saya mengambil sesi pagi (9am-11am) kerana waktu begini memang tidak ramai yang berenang di sini. Waktu bekerja agaknya. Untung juga saya bekerja sendiri.


Selain dari menyegarkan badan, saya sebenarnya ingin mempraktikkan ilmu renang yang saya belajar dari Coach Sazali dari Kelab Aquaputra. Total Immersion. Secara ringkasnya, teknik ini memerlukan tenaga yang sangat minimum. Oleh sebab itu, kita boleh berenang dalam jarak yang jauh dengan lebih santai.



Alhamdulillah, dengan sedikit latihan dan teknik baru walaupun belum sempurna, pagi ini saya mencatat rekod baru iaitu sejauh 1.8km. Kalau sebelum ini, saya hanya boleh berenang dalam lingkungan 600m. Kalau masalah air berlarutan lagi, mungkin saya dapat capai jarak 5km kerana minggu ini saja sudah empat kali saya ke kolam renang. Tapi, minta-minta cepatlah hujan turun.   


Hari ini hampir tiga minggu kawasan kampung saya tiada air. Saya ada periksa di laman sesawang Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Menurutnya air tidak dapat disalurkan kerana ada pencemaran ammonia yang tinggi. Tambahnya lagi kita kena berharap yang hujan akan turun dalam masa terdekat ini. Pernah juga sekali dua langit mendung memberi isyarat dan harapan yang hujan akan turun. Hampa. Hanya gerimis tipis yang turun sebentar bagaikan mengejek, kemudian langit kembali cerah.


Mujur pihak SYABAS ada menyediakan perkhidmatan lori air yang berulang-alik mengangkut air untuk kegunaan penduduk yang terjejas dengan krisis air. Pada peringkat awal, berlaku sedikit ketegangan di mana penduduk yang berang kerana menunggu air terlalu lama kerana jumlah lori yang sedikit. Sampai berparang jugalah yang saya dengar. Ada juga bantuan dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang mengedarkan air mineral secara percuma. Memang tidak cukup sebenarnya untuk menampung kegunaan seharian selama tiga minggu. Namun, saya perlu berterima kasih pada mereka kerana sanggup membantu.


Alhamdulillah. Dua hari lepas pihak YB setempat mengambil inisiatif untuk meletakkan tangki-tangki air di beberapa kawasan yang dirasakan patut. Kehadiran tangki-tangki ini memang banyak membantu kerana sebahagian dari kami tidak lagi perlu sehari suntuk menunggu lori air dan berjemur di tengah panas, menahan bahang matahari cukup luar biasa panasnya kesan dari kemarau. Tak kurang juga ada yang berpayung.





Bila berlaku perkara sebegini, akan timbul individu-individu yang saling menuding jari pada pihak-pihak tertentu. Ada yang menyalahkan kerajaan pusat. Ada yang menyalahkan kerajaan negeri. Bagi saya kalau nak kata salah, semua pihak salah. Saya rasa ini mungkin ujian yang diturunkan supaya kita sedar. Sudah terlalu banyak kemusnahan dan pembaziran yang telah kita lakukan. Mungkin ini waktunya untuk kita merenung balik di mana silapnya dan apa solusinya.


Akhir kata, semoga dengan masalah air yang ditimpakan ini kita dapat belajar untuk lebih menghargai air dan belajar untuk menjimatkan air.

Monday 24 February 2014


Kita ada satu ‘magic word’ yang ada ketikanya akan keluar dari mulut kita tanpa sedar. Kegunaannya bergantung pada situasi-situasi tertentu. ‘Eleh’.


Selalunya, ‘eleh’ ini diaplikasikan dalam penuturan yang bersifat defensif. Tapi ada waktunya juga, ‘eleh’ boleh digunakan dalam senario yang lain. Tiada arahan dan asal-usul yang jelas tentang penggunaan ‘eleh’ yang betul sebab saya pun tak pernah lagi jumpa perkataan ini dalam mana-mana kamus. Yang pasti, perkataan ini memang sangat berkesan jika kita kreatif menggunakannya.


Situasi 1.
Kita tengok kawan-kawan kita berjaya pada usia yang muda. Jadi sebagai alasan kerana kita tidak berjaya kita pun berkata,
“Eleh.. Anak orang kaya. Bolehlah.”


Situasi 2.
Kita nak play safe masa kita lafazkan yang kita suka seseorang. Ataupun dalam bahasa mudahnya, nak . Kita lafazkan cinta pada si A, tapi bahasa tubuhnya macam tak suka dekat kita. Maka, kita cepat-cepat cover line dan dengan selambanya berkata,
“Eleh.. Perasan la tu. Aku saja je nak test.”


Situasi 3.
Kita dalam mood yang betul-betul malas. Tiba-tiba kawan ajak berjoging. Nak sihatkan badan katanya. Lalu, kita akan berkata dengan nada menyindir,
“Eleh.. Kau sebenarnya bukan nak berjoging pun. Nak usha awek je lebihnya.”


Situasi 4.
Bila ada kawan berlagak alim menegur, “Kau ni aku tengok asyik melepak je. Pergilah buat benda yang
berfaedah sikit. Duduk kat masjid ke.” Walhal kita tahu yang dia pun dua kali lima. Kita pun dengan rasa menyampahnya berkata,
“Eleh.. Kau tu tiap malam merendek dengan awek kau aku tak bising pun.”


Situasi 5.
Dalam kelas, selalunya akan ada seorang dua pelajar yang ‘semangat’ sangat nak belajar. Kebiasaannya sebelum habis kelas, lecturer akan buka soalan kalau ada yang tak faham. Pantang lecturer tanya, “Ada apa-apa soalan tak?” Mulalah nak angkat tangan tanya macam-macam. Kita pula tak sabar nak keluar.
“Eleh.. Nak show off la tu,” ucap kita sambil memandang member di sebelah dan dia pun menggeleng geram.


Cukuplah lima contoh. Banyak lagi senario yang memerlukan kita menggunakan magis dari perkataan ‘eleh’. Hanya perlu kreatif dan tahu bila waktu yang sesuai. Mungkin ada yang bertanya apa yang akan berlaku kalau kita menggunakan magic word ini. Jawapannya kita akan rasa tak bersalah dan dapat menyedapkan hati. Nak tahu kena cuba sendiri.


Practice makes perfect.

Sunday 23 February 2014


Seharian saya bertapa di Seksyen 7, Bangi untuk belajar mengemaskini laman sesawang yang saya kira sudahpun bersawang. Sudah agak lama saya daftarkan website rasmi Afandi Othman Resources. Kira-kira hujung tahun 2013. Website ini saya wujudkan untuk memudahkan pengguna dapat mengetahui perkembangan kami dan mereka boleh mendapat pelbagai maklumat tentang produk kami dari semasa ke semasa.

Untuk muqaddimah, kami peserta bengkel dibentangkan video berdurasi lima minit yang menceritakan tentang kuasa online marketing. Satu platform baru dalam perniagaan yang perlu diperhalusi dan dioptimumkan peranannya. Selepas itu, kami diajar untuk mengemaskini website menggunakan Content Management System (CMS). Satu perisian yang memudahkan pengusaha website untuk menguruskan online marketing mereka.

Sebagai contoh, kita boleh melihat statistik dan graf perniagaan yang dijana secara automatik melalui data-data pelanggan yang melakukan pembelian melalui website. Dari situ, mudah untuk kita mendapat gambaran tentang status perkembangan perniagaan kita. Satu perkara yang sangat penting bagi seorang usahawan.

Selain itu, CMS ini juga memberi kelebihan kepada anda sebagai pengguna. Ada fungsi Shopping Cart yang mesra pengguna. Pengguna juga dapat menggunakan kod-kod voucher atau coupon yang diberikan oleh peniaga. Ada juga coupon dan free gift mengikut tema seperti hari jadi, musim perayaan dan sebagainya. Anda boleh memberikan free gift kepada kenalan anda sempena hari jadi mereka. Sangat menarik
.
Sebenarnya, banyak yang perlu ditambah dan diperhalusi dalam website tersebut. Namun, saya perlu siapkan perkara yang asas dahulu seperti produk dan capaian-capaian yang dapat memudahkan pengunjung website. Selesaikan dahulu maklumat-maklumat asas supaya pengunjung tahu tentang hala tuju website ini.

Mujur cikgu yang mengajar dapat menyampaikan dalam bahasa yang mudah. Tidak perlu istilah-istilah fancy dalam online marketing. Dapatlah orang macam saya yang tiada asas dalam pembinaan laman web memantau perkembangan bisnes secara atas talian.

Semoga dengan wujudnya laman web rasmi  Afandi Othman Resources, perniagaan yang saya jalankan dapat berkembang dan boleh memberi tambah nilai serta manfaat kepada manusia lain. 

Friday 21 February 2014




Hitam pekat
Angin malam kasar menyapa
Sisa bulan membantu gerak
Di hujung derap kering berdebu
Kami mencari mentari pagi

Gusar aku
Sempatkah kami temukan sinar itu
“Kita dah salah jalan”
Mungkin di depan kita teruskan


Ah, biarlah ku lepas dulu lelah
Sebelum jauh tersesat
Sehingga ada yang datang
Menunjukkan jalan yang benar


Maka

Berebutlah kami ke puncak
Mengucap selamat pada alam
Meskipun tak bertemu sinar sulung mentari.

Kami berjanji untuk kembali
Kalau kami datang lagi

Setiakah kau untuk menanti?

Wednesday 12 February 2014


URIP IKU URUP

Kita maklum bahawa kita hidup di dunia ini perlu saling memberi. Tapi, dewasa ini ramai yang memilih untuk berdiri sendiri. Hampir terlupa bahawa sebaik-baik kita adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

Urip iku urup (hidup itu nyala) menyiratkan hidup itu harusnya memberi manfaat bagi orang di sekitar kita. Tidak perlu dihitung manfaat diberi, hanya ikhlaskan dalam hati dan yakin kecil besar manfaat itu adalah urusan Tuhan. Kalau besar kebaikan yang kita dapat beri, kita telah membantu orang lain. Kalau kecil pun kebaikan yang dapat diberi, kita masih membantu orang lain.

Ada juga suara-suara liar yang mengatakan apa perlunya untuk membantu orang lain kerana jika kita susah belum tentu kita akan dibantu. Ada juga yang merasa bahawa mereka belum cukup berkemampuan untuk menolong orang lain.  Bagi saya, ianya berbalik semula tentang penafsiran kita terhadap kebaikan itu sendiri.

Ramai yang berpendapat kita harus membantu orang lain mengikut kemampuan. Itu saya setuju. Namun, ramai juga yang beralasan bahawa mereka belum cukup mampu. Kita sering lupa sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak. Semuanya bergantung kepada tabiat dan pilihan kita.

Sebagai contoh, kawan anda seorang perokok tegar dan dia merokok di tempat awam. Lalu, anda memilih untuk menegurnya supaya merokok di tempat lain ataupun seeloknya berhenti merokok sebentar kerana anda tidak tahan dengan asap rokok. Anda mungkin tidak sedar yang anda telah mengelakkan orang lain dari menjadi perokok sekunder.

Begitu juga jika ketika anda rasa untuk membuang sampah keluar dari tingkap kereta. Anda memilih untuk  menyimpannya dahulu kemudian buang sampah tersebut dalam tong sampah bila anda turun dari kereta. Anda sebenarnya telah membantu menjaga alam ini. Biarpun kecil perlakuan kita, namun yakinlah kita sebenarnya telah membantu banyak jiwa.

Jika kita tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain, kita seharusnya tidak memberi mudharat pada orang lain.

Manfaat yang kita berikan ibarat nyalaan api. Cahaya yang selalu menyala demi menyinari setiap derap langkah manusia.

Namun, ramai juga yang menjadi bara yang selalu membakar dan memusnahkan demi menidakkan usaha manusia lain.

Pilihan sentiasa ada di hati kita. Terpulang pada kita untuk menjadi cahaya atau bara.

Monday 3 February 2014


Aku yang silap.

Aku menerka masa akan menyembuhkan segalanya. Mungkin ku rasakan itu yang terbaik buatku pada waktu itu. Waktu di mana aku diuji masalah hidup. Aku merasakan hidup ini hanya berkisar tentang diriku. Tanpa aku sedar, ada hati yang aku dah lukakan. Fikirku hanya akan bertemu kau bila aku dah berjaya keluar dari masalah ini. Supaya kau tak turut sama terpalit. Mungkin bagi kau masalah aku tidaklah besar. Namun aku percaya. Ujian itu walaupun sama pada pandangan kasar, tapi impaknya berbeza bagi siapa yang mengalami.

Aku yang silap.

Aku menerka bila aku senyap menghilang kau akan faham. Aku tak mahu kau melihat aku dalam keserabutan. Aku hanya ingin kau mengenang perkara yang indah bila melihatku. Bukan seorang lelaki lemah yang kalah. Lantas aku memilih perniagaan sebagai escapism.  Masakan aku sanggup tinggalkan pelajaran yang telah lama aku usahakan. Aku bukan pelajar yang bermasalah dalam akademik. Kau pun tahu.

Hanya aku yang perlu derita. Harapannya agar kau sentiasa ketawa. Aku sentiasa melihat perkembangan melalui tulisan-tulisan yang kau nukilkan di blog. Satu posting kau di penghujung 2012 sudah cukup meyakinkanku. Kau sudah bertemu penggantiku yang paling layak.

Aku tumpang gembira namun aku tidak mampu untuk menzahirkannya. Aku bukan seorang yang pandai menyusun ayat dan ekspresi. Cukuplah dengan tulisan ini yang akan ku zahirkan pada kau bila aku sudah cukup kuat. Aku ini hatinya keras. Beruntung kau tidak lagi bersamaku.

Aku senang melihat kau bahagia. Bagaikan satu beban berat diangkat dari pundakku. Sekurangya aku tahu satu hati telah kembali sembuh, walaupun aku sedar kaca yang pecah mustahil untuk dicantum kembali.

Biarlah lagu Lara Hati lantunan Katon Bagaskara yang menemaniku tika ini menjadi saksi bahawa aku telah merelakan.

"Engkau adalah yang terindah sepanjang hidupku.

Luka meruah,

semua telah berlalu."


Jangan pernah maafkan aku. Takut aku buat silap lagi.

Kita lihat orang salah
Tapi kita lupa,
Kita yang bermasalah.

Kita kata orang tak tahu
Tapi kita lupa,
Kita yang bercelaru.

Kita cakap orang biadab
Tapi kita lupa,
Kita yang tak beradab.

Kita maki orang mencuri
Tapi kita lupa,
Kita yang tak pernah memberi.

Kita hina orang bangang
Tapi kita lupa,
Kita yang akal tak panjang.

Kita tuduh orang zalim
Tapi kita lupa,
Kita yang berlagak alim.

Kita cerita orang kejar glamour
Tapi kita lupa,
Kita yang dua kali lima.

Kita bicara kita paling hebat
Berkomentar tanpa siasat
Tapi kita lupa ,

Ada malaikat kiri kanan mencatat.

Lucu

Pilu

Gembira

Duka


Dalam perjalanan kita menuju abadi, setiap kita perlu meniti

Kisah lucu untuk kita bisa tersenyum

Kisah pilu untuk kita bisa melebur

Kisah gembira untuk kita bisa bahagia

Kisah duka untuk kita bisa kecewa


Kerana kita bisa menangis di hujung setiap ketawa